Insiden Siam Paragon: PM Thailand ikrar langkah keselamatan tertinggi untuk pelancong

Estimate Reading Time: 2 minutes

BANGKOK: Perdana Menteri Thailand, Srettha Thavisin berjanji akan melaksanakan langkah keselamatan tertinggi bagi memastikan keselamatan pelancong asing susulan insiden tembakan di pusat beli-belah Siam Paragon, Bangkok, petang semalam.

-Advertisement-

Srettha mengarahkan polis, Kementerian Pelancongan, Kementerian Luar, dan Kementerian Kesihatan Awam, untuk menyiasat punca kejadian dan membangunkan langkah untuk pencegahan pada masa hadapan.

“Mulai sekarang, kerajaan Thailand akan melaksanakan langkah keselamatan tertinggi untuk semua pelancong,” menurut hantarannya di platform ‘X’ (dahulunya dikenali sebagai Twitter).

Polis Thailand mengesahkan bahawa dua individu — seorang warga China dan seorang warga Myanmar maut manakala lima lagi cedera dalam kejadian itu.

Mangsa yang cedera, terdiri daripada seorang warga Laos, seorang warga China dan tiga warga negara tempatan.

Polis menahan seorang remaja berusia 14 tahun sejurus kejadian yang berlaku 4.20 petang (waktu tempatan).

Srettha turut melawat lokasi kejadian serta mangsa yang cedera di dua hospital.

Beliau turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga pelancong China yang cedera atau terbunuh dalam insiden tembakan itu, melalui Duta Besar China ke Thailand Han Zhiqiang.

Srettha berkata, Han menzahirkan penghargaannya atas tindakan pantas pihak berkuasa Thailand terhadap insiden itu.

“Kedutaan (Cina) sudah meminta kerajaan Thailand memberikan maklumat yang jelas dan telus mengenai kejadian terbabit, supaya Kedutaan dapat menyampaikan maklumat ini kepada rakyat China dan membantu mengurangkan sebarang kesan negatif terhadap pelancongan,” katanya.

Kebimbangan kesan negatif terhadap sektor pelancongan di Thailand telah dibangkitkan selepas insiden di pusat beli-belah itu, kerana negara itu menyasarkan untuk memulihkan industri pelancongannya.

-Advertisement-

Thailand sudah memberikan pengecualian visa sementara untuk penginapan 30 hari, bermula 25 Sept hingga 29 Februari tahun depan.

Sementara itu, Ketua Polis Negara, Pol Jen Torsak Sukvimol berkata, suspek mempunyai sejarah penyakit mental.

“Suspek mendakwa dia mendengar suara yang menyuruhnya menembak orang,” katanya.

Sementara itu, sebuah sekolah swasta The Essence yang terletak beberapa meter dari Siam Paragon mengesahkan suspek merupakan seorang daripada pelajarnya.

Pihak sekolah mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa dan meminta orang ramai menghormati privasi keluarga remaja lelaki berkenaan.

Kejadian tembakan besar-besaran jarang berlaku di Thailand; namun, ini adalah serangan senjata api ketiga sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Pada 2020, seorang anggota tentera menembak dan membunuh 29 orang dan mencederakan 58 lagi dalam kejadian amuk merentasi empat lokasi di sekitar bandar timur laut Nakhon Ratchasima.

Pada 6 Oktober tahun lalu, 36 orang terbunuh dalam serangan senjata api dan pisau di sebuah pusat jagaan kanak-kanak di wilayah Nong Bua Lamphu.

– BERNAMA

– BeritaHarian


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373