JDT Tundukkan Hiroshima 3-1, Jurulatih Jepun Kaitkan Bunyi Bunga Api Dengan Prestasi Pasukan

Estimate Reading Time: < 1 minute

JOHOR BAHRU, 5 MAC 2026 (The Capital Post) – Jurulatih kelab Jepun Sanfrecce Hiroshima mendakwa gangguan bunyi dentuman bunga api di luar hotel penginapan pasukan pada lewat malam sebelum perlawanan memberi kesan kepada prestasi pemain mereka ketika menentang Johor Darul Ta’zim.

Menurut pihak Hiroshima, bunyi kuat bunga api yang dipercayai berlaku berhampiran hotel menyebabkan pemain sukar mendapatkan rehat secukupnya menjelang perlawanan penting pusingan 16 terbaik AFC Champions League Elite.

Perlawanan yang berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim itu menyaksikan JDT mencatat kemenangan 3-1, sekali gus memberi kelebihan kepada juara Liga Super Malaysia itu menjelang aksi timbal balik.

Dalam perlawanan tersebut, Sanfrecce Hiroshima turut beraksi dengan 10 pemain selepas seorang pemain mereka dilayangkan kad merah seawal minit ke-26, yang menjejaskan rentak permainan pasukan Jepun itu.

-Advertisement-

JDT berjaya memanfaatkan situasi tersebut apabila jaringan daripada Ager Aketxe, Bergson da Silva dan Marcos Guilherme membantu skuad Harimau Selatan meraih kemenangan penting di laman sendiri.

Walaupun mengakui kekalahan itu mengecewakan, kem Hiroshima masih optimis mereka mampu bangkit pada aksi timbal balik di Jepun, sambil menegaskan pasukan akan memberi tumpuan penuh untuk memperbaiki prestasi pada perlawanan seterusnya. -The Capital Post