Jemaah umrah cecah 13.55 juta tahun lalu

Estimate Reading Time: 2 minutes

JEDDAH: Jumlah umat Islam yang menunaikan umrah sepanjang tempoh tahun lalu mencatatkan rekod baharu iaitu seramai 13.55 juta orang, kata Menteri Haji dan Umrah, Dr Tawfiq Al-Rabiah.

-Advertisement-

Beliau berkata, peningkatan jumlah jemaah umrah itu dianggarkan sebanyak lima juta orang atau 58 peratus, berbanding 2019.

Tawfiq berkata demikian ketika berucap pada Persidangan dan Pameran Perkhidmatan Haji dan Umrah di Jeddah Superdome.

Persidangan tahunan selama empat hari itu diadakan di bawah naungan Penjaga Dua Masjid Suci, Raja Salman Abdulaziz Al Saud.

Tawfiq berkata, persidangan itu menyaksikan penyertaan menteri dan pemimpin dari lebih 80 negara.

“Persidangan ini juga menyaksikan pemeteraian perjanjian haji dengan setiap negara yang mengambil bahagian.

“Lebih 35 syarikat akan menyediakan perkhidmatan mereka sepanjang tempoh haji tahun ini, berbanding 20 syarikat pada tahun lalu,” katanya.

Tawfiq berkata, Arab Saudi melancarkan projek bernilai lebih lima bilion riyal untuk membangunkan infrastruktur di tanah suci itu.

Katanya, pada tahun lalu pihaknya berusaha melatih lebih 40,000 pekerja dalam sistem haji dan umrah dan tahun ini melatih lebih 120,000 orang untuk berkhidmat kepada jemaah haji.

-Advertisement-

“Kami juga berusaha untuk meningkatkan tahap kesedaran dalam kalangan jemaah haji dan melaksanakan inisiatif untuk menubuhkan pusat kesedaran dengan kerjasama Pihak Berkuasa Am Wakaf.

“Selain itu, kami juga sudah melawat 13 negara dan mengadakan pameran di sana bersama rakan kongsi daripada sektor awam dan swasta, yang memberi impak besar kepada penambahbaikan prosedur serta memahami cabaran.

“Kami bekerjasama dengan rakan kongsi untuk membangunkan lebih 200 prosedur yang memudahkan ketibaan jemaah haji,” katanya.

Beliau memaklumkan, ekspatriat dari semua negara Teluk juga dibenarkan mengeluarkan visa elektronik untuk melawat negara itu dan menunaikan umrah.

Selain itu, katanya, rakan kongsi dalam sektor pengangkutan sedang berusaha untuk menambah penerbangan terus dari 164 destinasi kepada 216 destinasi, iaitu peningkatan sebanyak 32 peratus.

“Pihak kami turut berusaha membangunkan tapak bersejarah untuk meningkatkan pengalaman jemaah haji,” katanya.

– AGENSI

– BeritaHarian


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373