JKR Pantau Kemajuan Projek LTU di Pahang

Estimate Reading Time: < 1 minute

PAHANG 4 Jun 2026 (The Capital Post) – Jabatan Kerja Raya (JKR) telah melaksanakan lawatan pemantauan ke beberapa pakej utama Projek Central Spine Road (CSR) / Lingkaran Tengah Utama (LTU) bagi menilai perkembangan semasa pelaksanaan projek infrastruktur berkenaan.

Lawatan kerja tersebut diketuai oleh Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya (Sektor Infrastruktur) yang menjalankan tugas Ketua Pengarah Kerja Raya, Ir. Mohd Shahrom bin Ahmad Saman, yang meninjau sendiri kemajuan di dua lokasi utama projek pada sesi pagi dan petang.

Delegasi turut disertai Pengarah Kanan Cawangan Jalan, Ir. Atikah binti Zakaria, pegawai-pegawai JKR, serta wakil perunding dan kontraktor yang bertanggungjawab terhadap pelaksanaan projek di lapangan.

Pemantauan ini memberi tumpuan kepada penilaian tahap kemajuan kerja, pemeriksaan pelaksanaan di tapak serta perbincangan berkaitan isu teknikal dan cabaran semasa bagi memastikan projek dapat diteruskan dengan lebih lancar dan menepati jadual yang ditetapkan.

-Advertisement-

Sepanjang lawatan, taklimat terperinci turut disampaikan merangkumi status kemajuan kerja, pencapaian semasa projek, aspek keselamatan di tapak bina serta tindakan mitigasi yang sedang dilaksanakan bagi memastikan pematuhan kepada spesifikasi dan standard kualiti yang ditetapkan.

Projek LTU yang merupakan sebahagian daripada jaringan jalan raya strategik negara dilihat memainkan peranan penting dalam memperkukuh hubungan antara Pantai Timur dan Pantai Barat Semenanjung Malaysia. Pelaksanaannya dijangka memberi impak besar kepada peningkatan aksesibiliti, pengurangan masa perjalanan serta merangsang pembangunan ekonomi dan sosioekonomi setempat.

JKR terus komited memastikan setiap projek infrastruktur negara dilaksanakan secara sistematik, berintegriti dan berkualiti tinggi melalui kerjasama bersepadu semua pihak terlibat demi manfaat jangka panjang kepada rakyat – The Capital Post