KUALA SELANGOR 10 September 2026 (The Capital Post) – Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) PDRM melumpuhkan rangkaian pengedaran dan pemprosesan dadah berskala besar menerusi Op Eumenes dan Op Melanoplus yang dijalankan di sekitar Selangor, Kuala Lumpur dan Lembah Klang sepanjang Ogos 2026.
Pengarah JSJN, YDH Dato’ Hussein Omar Khan berkata, enam siri serbuan dalam Op Eumenes membawa kepada penahanan lima suspek serta pembongkaran kegiatan pemprosesan dadah berskala besar, dengan pelbagai jenis dadah dirampas termasuk cecair dan serbuk MDMA, ganja, Erimin 5, ketamin, Yaba dan methamphetamine.
Nilai keseluruhan rampasan bagi operasi berkenaan dianggarkan mencecah RM2.4 bilion.
Sementara itu, lima lagi siri serbuan menerusi Op Melanoplus membawa kepada penahanan sembilan suspek dan rampasan pelbagai jenis dadah termasuk cecair MDMA, pil ekstasi, ganja, Erimin 5, methamphetamine, biskut ganja, ketamin serta serbuk MDMA, dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM10.82 juta.
Menurut Dato’ Hussein, tindakan JSJN turut melibatkan sitaan aset yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kegiatan sindiket di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988. Antara aset yang disita ialah lapan kenderaan, barangan kemas dan wang tunai dengan nilai keseluruhan melebihi RM632,000.
-Advertisement-
Beliau berkata, keseluruhan dadah yang dirampas menerusi kedua-dua operasi itu dianggarkan berupaya memudaratkan sehingga 44 juta orang sekiranya berjaya diedarkan.
Kes berkenaan disiasat dan tindakan pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Turut hadir Ketua Polis Selangor, YDH CP Dato’ Pahlawan Shazeli bin Dato’ Kahar; Timbalan Pengarah Narkotik (Risikan/Operasi), YDH DCP Datuk Mat Zani @ Mohd Salahuddin bin Che Ali; Ketua Penolong Pengarah Narkotik (Risikan/Operasi), YDH SAC Datuk Dr. Jasmirol bin Jamaluddin serta ketua jabatan, ketua polis daerah dan pegawai kanan JSJN Bukit Aman serta kontinjen berkaitan.
JSJN menegaskan usaha membanteras kegiatan pengedaran dan pemprosesan dadah akan terus dipergiat secara agresif, berfokus dan berimpak tinggi bagi melumpuhkan rangkaian sindiket sehingga ke akar umbi. – The Capital Post