KUALA LUMPUR: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) perlu mengkaji semula kerjasama politik dengan DAP jika pemimpin parti cauvinis itu berterusan menyerang BERSATU dan kepemimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad secara terbuka.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU, Mohd Rafiq Naizamohideen, berkata pemimpin DAP turut mengeluarkan kenyataan mengguris perasaan orang Melayu dan umat Islam tanpa diambil tindakan tegas oleh parti itu.
Beliau berkata, perbuatan pimpinan DAP itu akan meretakkan hubungan antara parti komponen Pakatan Harapan (PH), sekali gus menyebabkan kehancuran gabungan itu sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Katanya, kenyataan Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC) DAP, Ronnie Liu jelas bertujuan merendah-rendahkan, menghina dan berniat jahat menyingkirkan BERSATU daripada PH.
Liu yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pelek sebelum ini menyatakan gabungan PH akan kekal kukuh sebagai kerajaan walaupun tanpa BERSATU.
Beliau turut mendakwa Dr Mahathir selaku Pengerusi BERSATU sering membuat keputusan bercanggah dengan kepemimpinan PH.
“Liu bukan satu-satunya pemimpin penting DAP yang menyerang BERSATU dan kepemimpinan Dr Mahathir, malah ramai lagi pemimpin utama DAP membuat serangan terbuka terhadap BERSATU dengan mengeluarkan kenyataan mengguris perasaan orang Melayu dan umat Islam.
“Apakah tindakan DAP kepada semua pemimpin DAP terbabit? Langkah mendiamkan diri ini seolah-oleh merestui tindakan melampaui batas yang dilakukan pimpinan DAP secara terus menerus tanpa henti,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mohd Rafiq turut menamakan beberapa pemimpin DAP yang bersikap melampaui batas termasuk Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang; Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran; EXCO Kerajaan Selangor, V Ganabatirau; Ahli Parlimen Kluang, Wong Shu Qi dan Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ram Karpal Singh. -Bharian