KANOWIT 25 Mei 2026 (The Capital Post) – Program Kampung Angkat MADANI terus diperkasa sebagai usaha merapatkan jurang pembangunan antara bandar dan luar bandar menerusi pelaksanaan pelbagai inisiatif pembangunan infrastruktur dan pemerkasaan komuniti di Batu Luking, Daerah Kanowit, Sarawak.
Menteri Perpaduan Negara, YB Dato Sri Aaron Ago Dagang berkata, program tersebut memberi tumpuan kepada penambahbaikan kemudahan asas termasuk bekalan air bersih, elektrik, jaringan jalan raya, capaian digital serta pengukuhan sosioekonomi masyarakat setempat.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Pelancaran Projek Kampung Angkat MADANI Batu Luking yang berlangsung di daerah tersebut.
Menurut YB Dato Sri Aaron Ago Dagang, pelaksanaan projek pembinaan tangki air bersih di kawasan itu amat penting bagi memastikan penduduk mendapat akses bekalan air yang mencukupi, stabil dan selamat.
-Advertisement-
Katanya, sebanyak RM500,000 diperuntukkan bagi pelaksanaan beberapa komponen pembangunan di bawah Projek Kampung Angkat MADANI Batu Luking yang dijangka memberi manfaat langsung kepada komuniti setempat.
Projek berkenaan melibatkan tiga rumah panjang utama iaitu Rumah Bibi, Rumah Johnny dan Rumah Morris yang menjadi fokus utama pelaksanaan inisiatif pembangunan di kawasan tersebut.
Beliau turut menegaskan bahawa pendekatan pembangunan inklusif menerusi Program Kampung Angkat MADANI mencerminkan komitmen kerajaan dalam meningkatkan kesejahteraan rakyat luar bandar secara menyeluruh dan mampan. -The Capital Post