SPM 2026 Bermula, Persiapan Menyeluruh Di Seluruh Negara

Estimate Reading Time: 4 minutes

KUALA LUMPUR, 23 NOVEMBER 2026 (The Capital Post) – Peperiksaan bertulis Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2026 bermula hari ini dengan pelbagai persiapan dilaksanakan di seluruh negara bagi memastikan kelancaran pengendaliannya, termasuk penyediaan kemudahan khas untuk calon berkeperluan pendidikan khas serta pelan menghadapi kemungkinan banjir sepanjang Monsun Timur Laut (MTL).

Di Kuala Lumpur, seramai 21,425 calon berdaftar menduduki peperiksaan itu di 162 pusat peperiksaan di seluruh Wilayah Persekutuan. Jumlah berkenaan merangkumi 15,759 calon sekolah kerajaan, 221 calon sekolah agensi kerajaan, 2,598 calon sekolah swasta dan 2,847 calon persendirian, termasuk 190 calon berkeperluan pendidikan khas (CBPK).

Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Pendidikan, Datuk Indera Ikmalrudin Ishak berkata, seramai 2,303 petugas peperiksaan dilantik, termasuk 252 sukarelawan pengawas bukan dalam kalangan penjawat awam bagi memastikan pengurusan peperiksaan berjalan lancar.

Di Putrajaya pula, seramai 2,745 calon menduduki SPM di 16 pusat peperiksaan dengan sokongan 166 petugas. Pelan kontingensi turut disediakan bagi menghadapi kemungkinan berlakunya banjir kilat.

Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Dr Mohd Azam Ahmad turut mengadakan tinjauan pada hari pertama peperiksaan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putrajaya Presint 16 (1).

Di Selangor, Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari menyampaikan bakul makanan kepada 50 calon SPM di Maahad Integrasi Tahfiz Selangor (MTIS) Alam Impian, Shah Alam menerusi Program Nutrisi Selangor (NUTRISEL) SPM 2026.

Inisiatif kerajaan negeri melalui Unit Pembangunan Ekonomi Negeri (UPEN) dan Kumpulan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI) itu akan diperluaskan kepada 73,594 pelajar di 256 sekolah bagi menyediakan makanan bernutrisi sebagai sokongan terhadap keperluan pemakanan, tumpuan dan kesejahteraan mereka sepanjang peperiksaan.

Di Kedah, seramai 30,980 calon berdaftar untuk menduduki SPM di 279 pusat peperiksaan, termasuk pusat peperiksaan di hospital. Sebanyak 19 sekolah dikenal pasti berisiko banjir, melibatkan 1,590 calon.

Pengarah Pendidikan Negeri, Azhari Abdul Rashid berkata, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah mengaktifkan persediaan menerusi Ops Payung, termasuk mengenal pasti pusat peperiksaan dan asrama alternatif, menyediakan aset kecemasan serta memantau keadaan cuaca secara masa nyata.

Sementara itu, Kelantan merekodkan 27,998 calon yang menduduki peperiksaan di 298 pusat peperiksaan dengan sokongan 3,284 petugas.

Pengarah JPN Kelantan, Siti Norina Muhamad berkata, kemudahan khas disediakan kepada 398 calon berkeperluan pendidikan khas, antaranya masa tambahan, bilik peperiksaan khusus serta kertas soalan bercetak besar atau Braille.

Di Pahang, seramai 21,640 calon berdaftar untuk menduduki peperiksaan di 268 pusat dengan 2,992 petugas dilantik, termasuk 395 sukarelawan.

Pengarah Pendidikan Negeri, Datuk Ahmad Zamri Md Isa berkata, jumlah itu merangkumi calon daripada sekolah Kementerian Pendidikan (KPM), agensi kerajaan, sekolah agama negeri, sekolah swasta dan calon persendirian.

Terengganu pula mencatatkan 20,352 calon yang menduduki SPM di 177 pusat peperiksaan, termasuk 121 calon berkeperluan khas dan 1,285 calon persendirian.

Timbalan Pengarah Pendidikan (Sektor Pembelajaran) negeri, Wan Zuraidi Che Wan Zaid berkata, Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) mengaktifkan Ops Payung bagi menghadapi kemungkinan banjir sepanjang MTL.

Menurutnya, sebanyak 39 sekolah dikenal pasti berisiko banjir, manakala pusat peperiksaan alternatif turut disediakan sebagai langkah persediaan.

Di Pulau Pinang, seramai 19,439 calon menduduki SPM di 154 pusat peperiksaan, termasuk 16 pusat di hospital. Seramai 1,505 petugas dilantik, dengan 202 daripadanya merupakan sukarelawan.

-Advertisement-

Pengarah Pendidikan Negeri, Mohamad Dziauddin Mat Saad berkata, 13 calon menduduki peperiksaan di hospital, melibatkan tujuh calon di Seberang Perai Tengah serta masing-masing tiga calon di Timur Laut dan Seberang Perai Utara.

Negeri Sembilan pula merekodkan 17,463 calon berdaftar berbanding 17,384 calon pada tahun lalu. Sebanyak 144 pusat peperiksaan melibatkan 132 sekolah disediakan, dengan 1,245 calon merupakan calon persendirian.

Di Melaka, seramai 13,372 calon termasuk 132 calon berkeperluan khas berdaftar untuk menduduki SPM di 102 pusat peperiksaan, manakala 1,948 petugas dilantik.

JPN Melaka dalam kenyataan memaklumkan bahawa kemudahan khas disediakan kepada semua calon berkeperluan khas, termasuk masa tambahan, kertas soalan bercetak besar bagi calon kurang penglihatan serta pengecualian ujian bertutur untuk calon kurang pendengaran.

Johor mencatatkan jumlah 51,371 calon yang mendaftar untuk menduduki SPM di 367 pusat peperiksaan dengan 4,484 petugas dilantik bagi memastikan pengurusan dan pengendalian peperiksaan berjalan teratur.

Pengarah Pendidikan Negeri, Zulkurnain Abdul Rahman berkata, tiga bilik peperiksaan dan tiga bilik kuarantin turut disediakan di SMK Dato’ Penggawa Barat, Pontian sebagai persediaan sekiranya terdapat calon mengalami demam atau gejala penyakit berjangkit.

Di Perlis, seramai 3,838 calon menduduki SPM di 37 pusat peperiksaan dengan sokongan 231 petugas. Jumlah itu termasuk 24 calon berkeperluan pendidikan khas dan empat calon kes khas yang menduduki peperiksaan di Hospital Tuanku Fauziah, Kangar.

Pengarah Pendidikan Negeri, Ishak Awang berkata, JPN Perlis turut menyediakan pelan alternatif termasuk pemindahan calon ke pusat peperiksaan lain sekiranya berlaku banjir. Beberapa lokasi seperti kolej komuniti, Kolej Matrikulasi Perlis dan Kolej Vokasional Arau dikenal pasti sebagai pusat alternatif.

Di Sarawak, seramai 36,144 calon memulakan peperiksaan bertulis SPM di 262 pusat peperiksaan yang dilaporkan berada dalam keadaan selamat daripada banjir, meskipun beberapa kawasan di negeri itu terjejas akibat bencana berkenaan.

Pengarah Pendidikan negeri, Datuk Omar Mahli berkata, pihaknya bekerjasama dengan pelbagai agensi bagi menghadapi sebarang kemungkinan sepanjang MTL.

Antara langkah yang disediakan termasuk penempatan calon di asrama sekolah sekiranya kediaman mereka terjejas serta pemindahan ke pusat peperiksaan alternatif jika laluan ke pusat asal terputus.

Sabah pula merekodkan seramai 42,808 calon yang mendaftar untuk menduduki SPM di 324 pusat peperiksaan, dengan 13,291 petugas dilantik bagi memastikan pengurusan peperiksaan berjalan lancar.

Pengarah Pendidikan Sabah, Abidin Marjan yang meninjau hari pertama peperiksaan di SMK Majakir, Papar berkata, pihaknya memberi perhatian terhadap keselamatan dan kebajikan calon serta petugas melalui mekanisme tindak balas bersepadu bersama agensi keselamatan dan kesihatan.

Beliau berkata, beberapa operasi kesiapsiagaan turut diaktifkan, termasuk Operasi Payung bagi menghadapi risiko banjir, Operasi Topeng untuk situasi jerebu, Operasi Gempa bagi bencana alam seperti gempa bumi serta Operasi Wabak bagi menangani penularan penyakit berjangkit.

Beliau turut menasihatkan calon supaya segera memaklumkan kepada pihak sekolah, Pejabat Pendidikan Daerah atau jabatan pendidikan sekiranya mereka terlibat atau terkesan akibat bencana bagi membolehkan tindakan sewajarnya diambil. – The Capital Post