KDN Perkukuh Pemantauan Pelan MyPCVE

Estimate Reading Time: < 1 minute

PUTRAJAYA 12 Ogos 2026 (The Capital Post) – Kementerian Dalam Negeri (KDN) memperkukuh pemantauan terhadap pelaksanaan Pelan Tindakan Malaysia bagi Mencegah dan Menangani Fahaman Pelampau Keganasan (MyPCVE) menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Pemantauan (JKP) MyPCVE Bilangan 1 Tahun 2026 yang berlangsung di Putrajaya semalam, 11 Ogos 2026.

Mesyuarat tersebut dipengerusikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Keselamatan) KDN, YBhg. Dato’ Hj. Abdul Halim bin Hj. Abdul Rahman, dan turut disertai wakil daripada pelbagai kementerian serta agensi yang terlibat secara langsung dalam pelaksanaan inisiatif di bawah pelan berkenaan.

Perbincangan memberi tumpuan kepada penelitian dan penyelarasan perkembangan setiap inisiatif yang telah dirangka, selain menilai status pelaksanaannya bagi memastikan langkah pencegahan terhadap fahaman radikal dan ekstremisme dapat dilaksanakan secara berkesan.

Kerjasama antara kementerian dan agensi berkaitan dilihat penting bagi memastikan pelaksanaan MyPCVE dapat dipantau secara menyeluruh serta respons terhadap sebarang ancaman keselamatan dapat diselaraskan dengan lebih berkesan.

-Advertisement-

Mesyuarat berkenaan turut mencerminkan komitmen KDN untuk memastikan setiap inisiatif di bawah MyPCVE dilaksanakan mengikut perancangan, sekali gus memperkukuh usaha negara dalam mencegah penularan fahaman pelampau keganasan yang boleh menjejaskan keselamatan dan keharmonian masyarakat.

Pemantauan secara berterusan terhadap pelaksanaan pelan tersebut diharap dapat memastikan kesiapsiagaan agensi berkaitan sentiasa berada pada tahap optimum dalam melindungi keselamatan serta kestabilan negara. – The Capital Post