79 Warga MINDEF Zon Timur Terima APC 2026

Estimate Reading Time: < 1 minute

KOTA BHARU 12 Ogos 2026 (The Capital Post) – Seramai 79 warga Kementerian Pertahanan (MINDEF) menerima Sijil Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) sebagai penghargaan terhadap prestasi dan dedikasi mereka dalam melaksanakan tanggungjawab sepanjang tahun perkhidmatan.

Pengiktirafan tersebut disampaikan menerusi Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) dan Jasamu Dikenang Tahun 2026 Peringkat Kementerian Pertahanan Zon Timur yang berlangsung di Hotel Renai, Kota Bharu, Kelantan, semalam, 11 Ogos 2026.

Majlis berkenaan disempurnakan oleh Setiausaha Bahagian Pengurusan Sumber Manusia Kementerian Pertahanan, YBrs. Encik Mohd Khairuzaki bin Paiman, sebagai tanda penghargaan terhadap warga MINDEF yang menunjukkan prestasi kerja dan komitmen tinggi dalam menjalankan amanah masing-masing.

Selain penerima APC, seramai sembilan pesara turut menerima Sijil Penghargaan dan insentif persaraan sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan serta khidmat bakti yang telah dicurahkan sepanjang tempoh perkhidmatan.

-Advertisement-

Pesara wajib yang layak turut menerima Pingat Perkhidmatan Terpuji (PPT) sebagai tanda penghargaan atas rekod perkhidmatan dan dedikasi mereka kepada Kementerian Pertahanan.

Penganjuran majlis tersebut mencerminkan komitmen MINDEF dalam menghargai sumbangan warga kerja dan pesara yang telah memainkan peranan dalam memastikan kelancaran operasi serta penyampaian perkhidmatan kementerian.

Pengiktirafan berkenaan turut menjadi pemangkin kepada pembudayaan prestasi kerja yang tinggi, selain menggalakkan warga MINDEF untuk terus melaksanakan tanggungjawab dengan penuh dedikasi, profesionalisme dan integriti demi memperkukuh organisasi. – The Capital Post