KUALA LUMPUR 15 Julai 2026, (The Capital Post) – Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) merekodkan kadar kelulusan sebanyak 96.0 peratus bagi permohonan MyKAS yang diterima daripada masyarakat India bagi tempoh 2022 hingga 31 Mei 2026, sekali gus mencerminkan komitmen kerajaan dalam mempermudah urusan dokumentasi rakyat yang layak.
Sepanjang tempoh tersebut, sebanyak 298 permohonan MyKAS telah diterima dengan 286 permohonan berjaya diluluskan. Sebanyak sembilan permohonan tidak berjaya, manakala tiga lagi masih dalam proses penilaian.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, KDN akan terus memperkukuh penyampaian perkhidmatan dokumentasi negara agar setiap individu yang layak menerima hak mereka melalui proses yang cekap, telus dan berintegriti selaras dengan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
Menurut beliau, kadar kelulusan yang tinggi itu membuktikan komitmen berterusan KDN dan JPN dalam memudah cara urusan dokumentasi rakyat di samping memastikan integriti Sistem Pendaftaran Negara terus dipelihara.
-Advertisement-
Beliau berkata, setiap permohonan dinilai secara menyeluruh berdasarkan fakta, dokumen sokongan serta peruntukan undang-undang bagi memastikan proses penilaian dilaksanakan secara telus, teratur dan berakauntabiliti.
KDN turut menegaskan akan terus menambah baik penyampaian perkhidmatan awam supaya urusan dokumentasi rakyat dapat dilaksanakan dengan lebih efisien, sekali gus memperkukuh keyakinan masyarakat terhadap sistem pendaftaran negara. – The Capital Post