Kementerian Komunikasi Perkukuh Tadbir Urus Kewangan

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR, 16 Oktober 2026 (The Capital Post) – Kementerian Komunikasi terus memperkukuh integriti, akauntabiliti dan ketelusan dalam pengurusan kewangan menerusi Program Libat Urus Pegawai Pengawal Bersama Pegawai Perakaunan dan Kewangan Kementerian Komunikasi Tahun 2026.

Program yang berlangsung di Menara Komunikasi pada Khamis (15 Oktober) itu dirasmikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Abdul Halim Hamzah.

Bertemakan “Akaun Diurus dengan Amanah, Peruntukan Dibelanja dengan Berhemah”, program tersebut menghimpunkan seramai 183 pegawai daripada 40 Pusat Tanggungjawab (PTJ).

Penganjurannya memberi penekanan terhadap kepentingan integriti, akauntabiliti serta amalan tadbir urus kewangan yang cekap, telus dan berhemah dalam memastikan peruntukan kerajaan diurus secara bertanggungjawab.

Program itu turut menampilkan sesi dialog bersama Abdul Halim yang menjadi platform kepada pegawai perakaunan dan kewangan untuk berkongsi pandangan serta mengemukakan cadangan penambahbaikan.

-Advertisement-

Sesi berkenaan juga membuka ruang kepada wakil PTJ untuk membincangkan pendekatan bagi memperkukuh pengurusan kewangan kementerian supaya lebih terancang dan berkesan.

Turut hadir ialah Setiausaha Bahagian Kanan (Pengurusan), Datuk Aminurrahim Mohamed; Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia, Erwin Khairul Ahmad; Setiausaha Bahagian Akaun, Nor Rosita Idris; serta Setiausaha Bahagian Kewangan, Norsuriani Abas.

Menurut hantaran di laman Facebook rasmi Kementerian Komunikasi, program berkenaan memberi tumpuan kepada pengukuhan tadbir urus kewangan serta perkongsian pandangan bagi meningkatkan keberkesanan pengurusan peruntukan kementerian – The Capital Post