MINDEF Lancar Inisiatif Kebajikan Anggota ATM di Melaka

Estimate Reading Time: < 1 minute

MELAKA, 16 Oktober 2026 (The Capital Post) – Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengadakan lawatan kerja ke Kem Terendak dan Kem Sungai Udang pada Khamis (15 Oktober) bagi meninjau pelaksanaan inisiatif kebajikan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM), veteran serta keluarga mereka, selain menilai kesiapsiagaan pertahanan negara.

Di Kem Terendak, beliau melancarkan Kempen Harga Istimewa Tentera Sejahtera (HITS) anjuran PERNAMA yang bertujuan membantu meringankan kos sara hidup warga pertahanan melalui penawaran barangan keperluan harian pada harga lebih berpatutan.

Mohamed Khaled turut menyempurnakan penyerahan replika cek Pakej Pengukuhan dan Rangsangan Program Ekonomi MADANI ATM (PEM ATM) bernilai RM1.5 juta yang bakal memanfaatkan sebanyak 49 projek.

Lawatan itu juga merangkumi Program Sekolah Angkat MADANI Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) yang bertujuan memperkukuh kemudahan pendidikan di kawasan kem ATM.

Beliau kemudian meneruskan lawatan ke Kem Sungai Udang untuk meninjau tahap kesiapsiagaan 21 Gerup Gerak Khas (GGK) serta cadangan pembinaan gimnasium terbuka menerusi Inisiatif Kem Santuni MADANI LTAT.

-Advertisement-

Dalam lawatan tersebut, Mohamed Khaled turut menyampaikan sumbangan kebajikan kepada 38 anggota dan waris yang berdepan masalah kesihatan kronik.

Turut hadir ialah Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Lokman Hakim Ali; Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Azhan Md Othman; serta Ketua Staf ATM, Leftenan Jeneral Dato’ Seri Haji Muhammad Huzaimi Sabri.

Majlis itu turut disertai barisan kepimpinan LTAT, PERNAMA serta pegawai kanan Kementerian Pertahanan dan ATM.

Menurut hantaran di laman Facebook rasmi Kementerian Pertahanan Malaysia, lawatan berkenaan memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan kesejahteraan warga pertahanan dan keluarga mereka, di samping memperkukuh kesiapsiagaan operasi ATM – The Capital Post