Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES)

Estimate Reading Time: < 1 minute

BANGI, 22 September 2026 (The Capital Post) – Seminar Pentadbiran Tanah Tahun 2026 menghimpunkan pelbagai pihak berkepentingan bagi memperkukuh pembangunan dan pengurusan hartanah berstrata yang lebih cekap, telus dan mampan.

Seminar bertemakan “Kelestarian Ilmu Pemacu Pembangunan Negara” itu dirasmikan Timbalan Ketua Setiausaha (Sumber Asli), Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), YBhg. Dato’ Khalid bin Mohamed hari ini.

Dianjurkan Institut Tanah dan Ukur Negara (INSTUN) menerusi Bahagian Pengurusan dan Perundangan Tanah (BPPT), seminar itu menjadi platform perkongsian ilmu, pengalaman dan pandangan dalam menangani cabaran pembangunan serta pengurusan strata yang semakin kompleks.

Antara topik dibincangkan ialah implikasi Akta Perancangan Bandar terhadap pembangunan strata moden, transformasi bandar menerusi Akta 318 dan pembangunan berorientasikan transit serta pindaan Akta Pengurusan Strata 2013 (Akta 757).

-Advertisement-

Perbincangan turut meliputi usaha memperkasa pengurusan Badan Pengurusan Bersama (JMB) dan Perbadanan Pengurusan (MC), selain bidang kuasa Tribunal Pengurusan Strata.

Seminar itu menghimpunkan pegawai kerajaan, badan berkanun, pemain industri, pemaju hartanah, pengamal undang-undang, penilai hartanah, ahli akademik dan komuniti strata.

Menurut hantaran di laman Facebook rasmi Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), seminar itu bertujuan memperkukuh perkongsian kepakaran dan kerjasama ke arah pentadbiran tanah serta pengurusan strata yang lebih berkesan dan mampan. – The Capital Post