Kenaikan kadar faedah AS beri tekanan kepada ringgit

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Kenaikan sekali lagi kadar faedah Amerika Syarikat (AS) sebanyak 75 mata peratusan akan terus menyokong pengukuhan dolar AS, sekali gus akan memberi tekanan kepada mata wang lain termasuk ringgit, demikian kata penganalisis.

-Advertisement-

Ketua Ahli Ekonomi Kumpulan dan Ketua Penyelidik AmBank Research, Dr Anthony Dass, berkata pihaknya masih menjangkakan dolar AS akan kekal kukuh disokong oleh beberapa faktor utama.

Beliau berkata, faktor berkenaan termasuk Fed AS masih lagi kekal dengan pendirian agresif dan justeru itu, ia akan terus mengukuhkan dolar sekurang-kurangnya hingga September.

Malah, katanya, ketidakstabilan dalam aset berisiko dan risiko geopolitik di rantau Eropah berikutan krisis gas Russia adalah antara faktor yang turut menyumbang kepada pengukuhan dolar.

“Kami menjangkakan dolar akan kekal sebagai mata wang lindung nilai dan harus mengekalkan sedikit kekuatan. Justeru, masih ada risiko untuk ringgit mencapai paras RM4.50 sedolar antara tempoh sekarang dan September,” katanya dalam nota penyelidikannya.

Rizab Persekutuan AS (Fed) pada Rabu telah menaikkan penanda aras kadar faedahnya sebanyak tiga perempat mata peratusan atau 0.75 peratus kepada julat antara 2.25 peratus dan 2.5 peratus.

Langkah kenaikan itu adalah antara usaha untuk mengurangkan tekanan inflasi paling teruk sejak 1980-an, dengan ‘peningkatan berterusan’ dalam kos pinjaman meskipun terdapat bukti ekonomi perlahan.

Dass berkata, pihaknya menjangkakan Fed AS akan menaikkan lagi kadar faedahnya sebanyak 50 mata asas pada September ini dan sebanyak 25 mata asas atau 50 mata asas pada mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC)FOMC yang dijadualkan pada November ini.

-Advertisement-

Beliau berkata, pihaknya juga menjangkakan kenaikan selanjutnya, yang mana bergantung kepada data, iaitu sebanyak 25 mata asas lagi pada Disember, sekali gus menjadikan kenaikan 100-125 mata asas menjelang akhir 2022 untuk normalisasi sekitar 3.25 peratus-

3.50 peratus.

Mengenai impak terhadap Kadar Dasar Semalaman (OPR) di Malaysia, Dass berkata, pihaknya masih kekal dengan unjuran kenaikan OPR oleh BNM pada mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) pada September ini.

Beliau berkata, pihaknya menjangkakan bank pusat itu akan menaikkan lagi kadar penanda aras kadar pinjaman di Malaysia sebanyak 25 mata asas lagi.

MPC BNM telah menaikkan OPR pada mesyuarat 11 Mei dan 6 Julai lalu masing-masing sebanyak 25 mata asas kepada 2.25 peratus berbanding paras rekod terendah 1.75 peratus sebelum ini.

-BH