Kerajaan akan tampil dengan naratif baharu mengenai Islam

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusuf mempertahankan prestasi kerajaan mengenai pelbagai isu berbangkit yang menjadi pertikaian dan memberi kesan kepada Islam.

-Advertisement-

Beliau yang juga Ahli Parlimen Parit Buntar turut menegaskan akan menghasilkan naratif baharu mengenai Islam supaya tidak mengulangi kesilapan terdahulu.

“Apabila kita ambil alih kuasa, kita tidak mahu jadi kerajaan yang menggunakan agama dan kaum untuk tujuan politik. Sebab itu kami memperjuangkan Islam sebagai agama amat progresif dan peranan yang ia boleh mainkan.

“Kita bawa suatu naratif baharu tentang Islam di Malaysia di bawah kerajaan baru (Pakatan Harapan), yang kita kata Islam yang penuh belas kasihan dan berharap akan cetuskan perpaduan nasional,” katanya dalam temu bual di program BBC Hardtalk, malam tadi.

Beliau berkata demikian mengulas pertanyaan pengacara rancangan itu, Zeinab Badawi mengenai tindakan keras pihak berkuasa terhadap pengikut fahaman Syiah di Malaysia, serta kenyataannya yang memuji Dr Zakir Naik.

-Advertisement-

Mujahid bagaimanapun menafikan menyokong penceramah dari India itu, selain menegaskan berulang kali memberi amaran kepada Zakir mengenai ucapan provokatifnya.

Dalam rancangan berdurasi 30 minit itu beliau juga menepis soalan mengenai tindakan pihak berkuasa terhadap Sisters in Islam dengan menjelaskan ia bukan dilakukan kerajaan semasa.

Mujahid yang juga Naib Presiden Parti Amanah Negara menegaskan kerajaan Pakatan Harapan tidak boleh mengulangi kesilapan sama kerajaan terdahulu bagi isu berkaitan Islam.

“Anda perlu suatu naratif yang kuat tentang Islam untuk berbuat demikian,” katanya. – Berita Harian