Kerajaan disaran kuatkuasakan semula GST

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Kerajaan disaran menguatkuasakan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) pada kadar tiga peratus, bagi mendapatkan kembali hasil cukai yang hilang akibat aktiviti ekonomi gelap.

-Advertisement-

Selain itu, dalam mempergiat usaha menutup ketirisan hasil kerajaan, Pakar Kriminologi, Pusat Pengajian Psikologi Gunaan, Dasar dan Kerja Sosial (SAPSP), Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Zalmizy Hussin menyarankan keperluan untuk membina dan menaik taraf tembok di sempadan Malaysia-Thailand bagi mengekang aktiviti penyeludupan barangan serta pemerdagangan manusia.

Zalmizy menjelaskan, aktiviti dalam pasaran ekonomi gelap menyebabkan negara kehilangan wang berbilion ringgit.

“Jika aktiviti ini dapat dikekang, sudah pasti ia akan menyumbang kepada hasil negara yang terkesan akibat pandemik COVID-19.

“Selain itu, kerajaan juga disaran mencontohi Australia, yang mana pihak berkuasa tempatan (percukaian) di negara itu menggunakan khidmat peguam percukaian terkemuka untuk mewakili kerajaan bagi mendapatkan semula hasil cukai yang hilang atau berlaku ketirisan,” katanya kepada BH, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas langkah yang boleh dilakukan kerajaan bagi menutup ketirisan hasil, susulan muka depan BH hari ini yang melaporkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya menyelamatkan RM2.1 bilion hasil kerajaan dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini berikutan penguatkuasaan ketat dan kemampuan mengesan taktik penipuan cukai serta penyeludupan.

Ketua Pengarah Kastam, Datuk Abdul Latif Abdul Kadir, dilaporkan berkata, pihaknya menyasarkan untuk menutup ketirisan hasil kerajaan sehingga RM5 bilion menjelang hujung tahun ini.

Selain itu, Zalmizy juga menyarankan kerajaan menyemak semula kadar duti eksais sedia ada bagi semua produk yang laris di pasaran seperti rokok dan minuman keras, dengan melaksanakan kadar yang sama dengan negara jiran.

“Dengan langkah ini, tidak wujud dorongan untuk penyeludup membawa masuk produk seumpamanya untuk dijual di negara ini.

-Advertisement-

“Kadar duti tinggi yang melampau, disulitkan lagi dengan penguatkuasaan yang lemah dan amalan rasuah dalam kalangan pihak berkuasa menggalakkan penyeludup untuk mengedar produk ini pada harga rendah,” katanya.

Beliau menegaskan, pengedar, peruncit dan pengguna produk yang menjalankan aktiviti ekonomi gelap juga perlu dibawa ke muka pengadilan menerusi peruntukan undang-undang sivil dan jenayah yang lebih tegas serta berat.

“Selain itu, penjawat awam juga perlu mengamalkan sikap integriti dan amanah dalam menjalankan tugas supaya ketirisan hasil dapat terus dikurangkan,” katanya.

Sementara itu, Pakar Kriminologi, Datuk Shahul Hamid Abdul Rahim, berkata JKDM boleh menambah baik aspek penyiasatan dan pemeriksaan barangan yang keluar dan masuk ke dalam negara, termasuk melalui semakan prosedur operasi standard (SOP) dan penugasan pegawai.

“Pihak kastam perlu menyelidik punca berlakunya penyeludupan barangan terutama yang menipu pengisytiharan.

“Ketika ini memang ada borang pengisytiharan barangan tetapi bagi tujuan pengesahan itu, mungkin SOP perlu disemak sama ada ia mencapai matlamat yang ditetapkan supaya ketirisan tidak berlaku,” katanya.

Selain itu katanya, kerjasama orang awam dalam memberi maklumat mengenai kegiatan yang meragukan juga dapat membantu usaha berkenaan.

-BH


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373