Penyamun ‘tumpang guna tandas’ kebas duit

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA SELANGOR: Dua lelaki menggunakan helah ‘mencari rumah sewa’ dan ‘ingin menggunakan tandas’ bagi memudahkan kegiatan mereka mencuri di sebuah rumah didiami warga emas di Jeram, di sini, semalam.

-Advertisement-

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa, berkata dua suspek terbabit datang ke rumah mangsa berusia 68 tahun dengan menaiki motosikal dan bertanya mengenai rumah sewa.

“Mangsa kemudian membawa kedua-dua suspek ke rumah sewa yang terletak di belakang rumahnya. Ketika berbincang, seorang daripada suspek meminta kebenaran menggunakan tandas.

“Mangsa yang tidak mengesyaki apa-apa membenarkan suspek pergi ke tandas di dalam rumahnya. Selepas beberapa minit, suspek keluar dan terus mengajak rakannya beredar.

“Malah, suspek turut memberi harapan kepada warga emas itu akan menghubunginya semula jika bersetuju untuk menyewa,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Ramli berkata, selepas suspek pergi, mangsa mengesyaki berlaku kecurian selepas mendapati sebuah beg yang digantung di tepi almari, dialih ke atas mesin basuh.

“Mangsa masuk ke dalam bilik dan mendapati beg sandang miliknya dan suaminya hilang sebelum menghubungi anak lelakinya untuk melihat kamera litar tertutup (CCTV) di luar rumah.

-Advertisement-

“Pemeriksaan CCTV mendapati salah seorang suspek masuk ke dalam rumah mangsa melalui pintu bahagian belakang,” katanya.

Katanya, mangsa kerugian RM1,600 selepas wang RM1,200 yang disimpan di dalam beg sandang suaminya dan wang RM400 di dalam beg sandang mangsa hilang disyaki dicuri salah seorang suspek yang datang ke rumahnya.

Beliau berkata, usaha mendapatkan maklumat suspek masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan.

Ramli turut mengingatkan masyarakat khususnya suri rumah supaya berwaspada apabila didatangi orang tidak dikenali di rumah dan bertanyakan sesuatu termasuk ingin masuk ke rumah.

“Pelbagai cara dan helah digunakan penjenayah untuk memecah masuk rumah. Dapatkan maklumat seperti nombor kenderaan dan ambil gambar individu terbabit menggunakan telefon bimbit bagi membantu pihak polis menyiasat jika berlaku jenayah,” katanya.

-BH


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373