Kerajaan perhalusi sistem kutipan tol aliran bebas pelbagai lorong

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang memperhalusi kaedah pelaksanaan sistem kutipan tol secara Aliran Bebas Pelbagai Lorong (MLFF) untuk memberi keselesaan kepada pengguna lebuh raya.

-Advertisement-

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad, berkata selaras hasrat kerajaan melaksanakan MLFF pada 2025, mod pilihan pembayaran kepada pengguna akan dipelbagaikan dan tidak terhad kepada satu skim penyedia pembayaran sahaja seperti sekarang.

“Ini secara tidak langsung akan membantu pengguna mengatasi isu kekurangan baki sewaktu melalui gantri di plaza tol dan seterusnya melancarkan pergerakan pengguna lebuh raya,” katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Datuk Mas Ermieyati Samsudin (PN-Masjid Tanah) yang meminta kerajaan menyatakan sebab sistem Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) masih mengalami masalah sehingga berlaku kesesakan di plaza tol, selain perancangan kerajaan bagi mengatasi masalah itu.

-Advertisement-

Mengakui berlaku sedikit kekurangan terutama dari sudut teknikal ketika dalam proses menambah baik dan memantapkan sistem RFID, Abdul Rahman berkata, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) meminta syarikat pengendali lebuh raya untuk membuat pelarasan lebih kerap di lorong terbabit supaya kecekapan dapat dipertingkatkan.

Beliau berkata, pengendali lebuh raya juga diminta membuat hebahan kesedaran kepada pengguna supaya mempunyai baki mencukupi, selain menyarankan pengguna menyemak baki eWallet sebelum memulakan perjalanan bagi memastikan tiada gangguan ketika melakukan transaksi bayaran tol.

Menurutnya, palang tol bagi lorong RFID juga tidak dapat dibuka setakat ini bagi mengatasi masalah kesesakan kerana ia melibatkan isu perundangan dan hal-hal lain yang berkaitan. – BERNAMA