Kerajaan Perkukuh Pembangunan Luar Bandar Mampan

Estimate Reading Time: < 1 minute

PAHANG 7 Julai 2026 (The Capital Post) – Sambutan Hari Pembangunan Luar Bandar Sedunia 2026 membuka ruang untuk memperkukuh agenda pembangunan desa menerusi pendekatan yang lebih menyeluruh, bukan sahaja melalui penyediaan kemudahan fizikal tetapi turut melibatkan pembangunan modal insan dan peningkatan keupayaan masyarakat.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menyempurnakan Majlis Perasmian Sambutan Hari Pembangunan Luar Bandar Sedunia 2026 yang berlangsung di Stadium Tun Abdul Razak, Bandar Pusat Jengka, Pahang.

Dalam ucapannya, beliau menegaskan pembangunan luar bandar yang berkesan perlu memberi tumpuan kepada pembentukan komuniti desa yang berilmu, mempunyai kemahiran, berdaya saing serta mampu mewujudkan peluang ekonomi dan kehidupan yang lebih baik.

Sambutan yang diadakan buat julung kalinya di Malaysia itu menjadi penghargaan kepada golongan petani, pekebun kecil, peneroka, nelayan, usahawan desa, wanita, belia serta pemimpin komuniti yang memainkan peranan penting dalam pembangunan luar bandar dan kemajuan negara.

-Advertisement-

Majlis berkenaan turut menyaksikan pelancaran My Rural Insight, penyampaian Anugerah Desa MADANI serta pengagihan Keuntungan Belum Agih Interim 1 Tahun 2026 oleh FELCRA Berhad berjumlah lebih RM126.9 juta kepada lebih 72,000 peserta di seluruh negara.

Menerusi Agenda Ekonomi Desa Nasional, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah akan terus memperkasa pembangunan luar bandar secara inklusif dan mampan melalui pengukuhan ekonomi, pembangunan bakat, pendigitalan serta inovasi bagi memastikan kawasan desa terus menjadi pemacu pertumbuhan negara – The Capital Post