KOTA KINABALU 11 September 2026 (The Capital Post) – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) Bilangan 1 Tahun 2026 di Kota Kinabalu, dengan tumpuan diberikan kepada kemajuan pelaksanaan persetujuan di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Mesyuarat tersebut turut dihadiri Ketua Menteri Sabah, Premier Sarawak serta barisan pimpinan Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri bagi meneliti beberapa perkara strategik yang mempunyai kaitan langsung dengan kepentingan serta masa depan Sabah dan Sarawak.
Antara perkara utama yang dibincangkan ialah Inisiatif Pemerkasaan Keselamatan Sempadan Sabah dan Sarawak, pertambahan perjawatan serta proses borneonisasi Perkhidmatan Awam Persekutuan di kedua-dua negeri.
Mesyuarat itu turut membincangkan Kajian Semula Pemberian Khas di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan serta cadangan berkaitan pertambahan bilangan Ahli Dewan Rakyat dari Sabah dan Sarawak.
Anwar berkata setiap perkara berkaitan MA63 perlu diteliti secara menyeluruh dalam semangat sebuah Persekutuan yang kukuh bagi memastikan hak dan kepentingan Sabah serta Sarawak terus dihormati dan diterjemahkan melalui keputusan serta pelaksanaan yang berkesan.
Menurut beliau, MA63 tidak seharusnya dilihat sekadar sebagai dokumen sejarah, sebaliknya merupakan amanah dan komitmen nasional yang perlu dilaksanakan dengan adil, ikhlas dan penuh tanggungjawab.
-Advertisement-
Beliau turut menegaskan bahawa perkara yang telah dipersetujui perlu dilaksanakan, manakala isu yang masih belum mencapai penyelesaian hendaklah terus dirunding melalui pendekatan yang berhemah, ikhlas dan berlandaskan semangat muafakat.
Kerajaan Persekutuan, katanya, akan terus menyediakan ruang perbincangan yang luas bersama kerajaan negeri Sabah dan Sarawak bagi memastikan hubungan sebagai rakan dalam Persekutuan terus diperkukuh.
Pendekatan tersebut turut bertujuan memastikan pembangunan serta kemakmuran negara dapat dinikmati secara adil dan saksama oleh seluruh rakyat tanpa mengira wilayah.
Anwar turut memaklumkan bahawa beliau akan kembali ke Kuching, Sarawak pada minggu hadapan bagi menyambut Hari Malaysia, selain memperingati sejarah pembentukan Malaysia dan memperbaharui komitmen untuk membina sebuah negara yang lebih kukuh, adil dan sejahtera – The Capital Post