SELANGOR 7 Julai 2026 (The Capital Post) – Jabatan Pertanian mengambil langkah memperkukuh sektor agromakanan negara menerusi sesi libat urus cadangan penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) Baja bagi mewujudkan sistem pertanian yang lebih tersusun dan mampan.
Sesi yang berlangsung di Dewan Auditorium Institut Latihan Pengembangan Pertanian (ILPP) Serdang itu melibatkan penyertaan wakil kementerian, jabatan, agensi berkaitan serta pemain industri bagi mendapatkan pandangan menyeluruh daripada pelbagai pihak dalam rantaian ekosistem pertanian.
Cadangan penggubalan RUU Baja di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dilihat sebagai satu usaha strategik kerajaan untuk membentuk kerangka perundangan yang lebih menyeluruh dalam mengawal aspek kualiti, pengedaran dan kestabilan harga baja di pasaran.
Melalui perundangan baharu itu, kerajaan berhasrat memastikan produk baja yang digunakan oleh petani memenuhi piawaian keselamatan dan kualiti, selain melindungi golongan petani, peladang serta pekebun kecil daripada risiko penggunaan baja tiruan atau tidak menepati standard.
-Advertisement-
Jabatan Pertanian memaklumkan sesi libat urus tersebut menerima pelbagai pandangan serta cadangan membina daripada pihak berkepentingan yang terlibat dalam industri pertanian.
Segala maklum balas yang diterima akan diperhalusi bagi memastikan RUU Baja yang bakal digubal bersifat praktikal, seimbang dan mampu menangani cabaran masa hadapan demi menjamin kelangsungan serta kestabilan sektor pertanian negara – The Capital Post