Kes pertama varian baharu mpox dikesan di Jerman

Estimate Reading Time: 2 minutes

BERLIN: Jangkitan membabitkan varian baharu mpox clade 1b telah dikesan di Jerman buat kali pertama, kata pihak berkuasa kesihatan Institut Robert Koch pada Selasa.

-Advertisement-

Jangkitan itu berlaku di luar negara dan dikesan pada Jumaat lalu, kata institut itu, sambil menambah bahawa mereka tidak melihat peningkatan risiko untuk Jerman tetapi ‘memantau keadaan dengan sangat teliti.’

Varian clade 1b baharu itu telah merebak di Republik Demokratik Congo (DRC) tahun ini dan turut dikesan di beberapa negara Afrika lain.

Jangkitan di Jerman ditemui pada seorang lelaki berusia 33 tahun di Cologne, menurut jurucakap kementerian kesihatan wilayah di negeri North Rhine-Westphalia kepada AFP.

“Dipercayai bahawa lelaki terbabit dijangkiti di sebuah negara Afrika Timur dan mangsa kini tinggal di Cologne serta sedang dirawat dengan diasingkan di sebuah hospital tempatan.

“Pesakit diuji selepas menunjukkan gejala penyakit itu manakala semua kontak pesakit telah dikenal pasti dan berhubung dengan jabatan kesihatan tempatan,” kata jurucakap itu.

Mpox yang juga dikenali sebagai cacar monyet, adalah penyakit virus berkaitan dengan cacar yang menyebabkan demam, sakit badan, pembengkakan kelenjar limfa dan ruam yang membentuk lepuhan, dikenal pasti mempunyai dua subjenis utama – clade 1 dan clade 2.

-Advertisement-

Sejak Mei 2022, clade 2 merebak di seluruh dunia, kebanyakannya membabitkan lelaki gay dan biseksual di Eropah dan Amerika Syarikat (AS).

Pada Julai 2022, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan kecemasan kesihatan awam antarabangsa, tahap amaran tertinggi agensi di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu berhubung penyebaran mpox.

Kempen vaksinasi dan kesedaran di banyak negara membantu mengurangkan bilangan kes di seluruh dunia dan WHO menarik balik kecemasan itu pada Mei 2023 selepas melaporkan 140 kematian daripada kira-kira 87,400 kes.

Bagaimanapun, pada 2024, wabak dua cabang baharu tercetus, kebanyakannya di DRC.

Selain clade 1, yang kebanyakannya menjejaskan kanak-kanak, strain baharu muncul di DRC, dipanggil clade 1b.

Kes clade 1b juga direkodkan di Burundi, Kenya, Rwanda dan Uganda, tiada satu pun antara negara berkenaan pernah mengesan jangkitan mpox sebelum ini.

Kes tunggal juga dikesan di Sweden dan Thailand, mendorong WHO mengisytiharkan satu lagi kecemasan antarabangsa pada Ogos lalu.
-AFP
-BeritaHarian


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427