BANGI 13 Oktober 2026 (The Capital Post) – Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) terus memperkukuh langkah pencegahan penyakit pekerjaan menerusi pelaksanaan Seminar SOHELP Kebangsaan 2026 yang dianjurkan oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) di Bangi Avenue Convention Centre (BACC), Bangi, Selangor.
Seminar tersebut dirasmikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Antarabangsa) KESUMA, Dr. Mohd Shaharin bin Umar, bagi meningkatkan pengetahuan, kerjasama dan perkongsian amalan terbaik dalam pengurusan keselamatan dan kesihatan pekerjaan, khususnya berkaitan risiko kebisingan, pendedahan bahan kimia serta faktor ergonomik.
Sejak diperkenalkan pada 2016, program SOHELP telah melibatkan sebanyak 2,621 tempat kerja, termasuk 505 tempat kerja sepanjang 2026. Pencapaian itu mencerminkan usaha berterusan dalam menggalakkan pengurusan risiko kesihatan pekerjaan secara lebih proaktif dan sistematik.
Bagaimanapun, statistik JKKP bagi tempoh Januari hingga Julai 2026 merekodkan sebanyak 5,163 laporan kes penyakit pekerjaan, dengan 3,713 kes telah disahkan. Angka tersebut menekankan kepentingan memperluas langkah pencegahan, pemantauan dan kawalan risiko bagi melindungi kesihatan pekerja.
-Advertisement-
Seminar berkenaan turut mengiktiraf 19 penerima anugerah atas kecemerlangan pelaksanaan SOHELP dalam bidang pengurusan pendedahan bising, bahan kimia, ergonomik serta pengurusan kesihatan pekerjaan secara menyeluruh.
Pelaksanaan inisiatif ini selari dengan Pelan Induk Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara 2026–2030 (OSHMP30) serta aspirasi Malaysia MADANI, khususnya prinsip Kesejahteraan dan Ihsan, dalam usaha mewujudkan persekitaran kerja yang lebih selamat, sihat dan produktif untuk semua – The Capital Post