Kempen Derma Darah BPlant Catat Penyertaan Melebihi Sasaran

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR 24 Jun 2026 (The Capital Post) – Boustead Plantations Berhad (BPlant) sekali lagi membuktikan komitmennya terhadap tanggungjawab sosial korporat (CSR) menerusi penganjuran Kempen Derma Darah yang berlangsung di Menara Boustead, Jalan Raja Chulan, dengan penyertaan yang melebihi sasaran ditetapkan.

Program yang berlangsung dari jam 9.00 pagi hingga 3.00 petang itu menerima sambutan amat memberangsangkan apabila seramai 87 kakitangan tampil menderma darah berbanding sasaran awal sebanyak 70 penderma. Pencapaian tersebut mencerminkan tahap kesedaran dan keprihatinan tinggi warga BPlant dalam membantu memenuhi keperluan bekalan darah negara serta menyokong pesakit yang memerlukan transfusi darah.

Selain menyumbang kepada peningkatan stok darah negara, kempen berkenaan turut menjadi platform untuk menyemai nilai kesukarelawanan, semangat kebersamaan dan empati dalam kalangan warga korporat.

Antara yang mencuri perhatian ialah seorang kakitangan BPlant, En. Hamidi Md Noh, 51, yang hadir menyertai kempen tersebut dan berjaya melaksanakan derma darah bagi kali ke-24. Penglibatan beliau menjadi inspirasi kepada rakan-rakan sekerja lain, khususnya penderma baharu yang ingin menyumbang kepada masyarakat melalui aktiviti kemanusiaan.

-Advertisement-

Menurut beliau, amalan menderma darah bukan sahaja memberi manfaat kepada penerima, malah membantu meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan menjaga kesihatan diri di samping menyemai semangat membantu golongan yang memerlukan.

Pusat Darah Negara turut merakamkan penghargaan kepada Boustead Plantations Berhad dan seluruh warga kerjanya atas komitmen yang ditunjukkan dalam menjayakan kempen berkenaan, sekali gus membantu memperkukuh usaha memastikan bekalan darah negara sentiasa mencukupi untuk kegunaan pesakit di seluruh negara.

Penganjuran program seperti ini dilihat sebagai antara usaha penting dalam meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan derma darah serta menggalakkan lebih ramai individu tampil menjadi penderma secara berkala demi kesejahteraan komuniti. – The Capital Post