Ketua Polis Negara Dilantik Profesor Ikhtisas SIUC

Estimate Reading Time: < 1 minute

PUTRAJAYA, 3 November 2026 (The Capital Post) – Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Dato’ Seri Mohd Khalid Ismail, menerima pelantikan sebagai Profesor Ikhtisas oleh Kolej Universiti Antarabangsa Spectrum (SIUC) sebagai pengiktirafan terhadap pengalaman dan sumbangan beliau dalam perkhidmatan awam serta Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Pengiktirafan itu disampaikan sempena Majlis Konvokesyen SIUC Ke-26 yang berlangsung di Hotel Marriott Putrajaya pada 25 Oktober lalu.

Pelantikan berkenaan disempurnakan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah SIUC, Profesor Emeritus Tan Sri Dr. Mohamed Salleh Mohamed Yasin.

Menurut PDRM, pengiktirafan tersebut diberikan berdasarkan pengalaman hampir empat dekad Mohd Khalid dalam perkhidmatan awam dan kepolisian, khususnya dalam aspek kepimpinan, profesionalisme serta pengurusan organisasi.

Dalam ucapan penerimaannya, Mohd Khalid menyifatkan pelantikan itu sebagai peluang untuk menghubungkan teori akademik dengan pengalaman sebenar dalam perkhidmatan awam.

-Advertisement-

Beliau turut menyatakan hasrat untuk berkongsi pengetahuan dan pengalaman kepimpinan bagi membantu membentuk generasi pemimpin masa hadapan.

Mohd Khalid turut menekankan bahawa kepimpinan bukan semata-mata ditentukan oleh pangkat atau kedudukan, sebaliknya berteraskan tanggungjawab terhadap masyarakat serta penghayatan nilai integriti, disiplin dan keadilan.

Pengiktirafan tersebut juga mencerminkan kepentingan kerjasama antara institusi akademik dengan pengamal profesional dalam memperkukuh pembangunan kepimpinan dan tadbir urus.

Menurut hantaran di laman Facebook rasmi Polis Diraja Malaysia, pelantikan itu turut menjadi penghargaan terhadap sumbangan berterusan Mohd Khalid dalam memperkukuh profesionalisme, akauntabiliti dan integriti institusi kepolisian negara – The Capital Post