GEORGE TOWN 23 Jun 2026 (The Capital Post) – Ketua Polis Pulau Pinang yang baharu, CP Datuk Dennis Lim Kwang Keng, telah mengadakan sesi amanat serta suai kenal bersama pegawai kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Pulau Pinang dan pengamal media negeri dalam satu pertemuan rasmi di Mes Pegawai Kanan, Jalan Lahat.
Dalam sesi tersebut, beliau merakamkan penghargaan kepada kepimpinan tertinggi PDRM atas kepercayaan yang diberikan untuk menerajui Kontinjen Pulau Pinang serta menyatakan komitmen untuk memperkukuh tahap keselamatan dan ketenteraman awam di negeri ini.
CP Datuk Dennis Lim Kwang Keng turut menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan agensi-agensi berkaitan atas kerjasama berterusan dalam usaha mempertingkatkan aspek keselamatan dan pembangunan negeri. Beliau menekankan bahawa usaha membangunkan kawasan terbiar telah membantu mengurangkan ruang yang berpotensi dieksploitasi oleh pihak tidak bertanggungjawab untuk kegiatan jenayah.
Menurut beliau, keselamatan awam merupakan tanggungjawab bersama dan tidak boleh digalas oleh pihak polis semata-mata, sebaliknya memerlukan penglibatan aktif masyarakat, agensi kerajaan, pihak swasta serta komuniti setempat dalam semangat kerjasama bersepadu.
Beliau turut menegaskan pendekatan “Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada” serta konsep “Unite Against Crime” akan terus diperkasakan melalui pelbagai inisiatif pencegahan jenayah yang melibatkan penyertaan semua pihak bagi mewujudkan persekitaran yang lebih selamat dan harmoni.
-Advertisement-
Sebagai Ketua Polis Pulau Pinang yang baharu, CP Datuk Dennis Lim Kwang Keng menegaskan komitmennya untuk memastikan keselamatan, keamanan dan ketenteraman awam sentiasa berada pada tahap terbaik, selain memperkukuh keyakinan masyarakat terhadap perkhidmatan PDRM.
Beliau juga mengingatkan seluruh warga PDRM Pulau Pinang agar melaksanakan tugas dengan penuh profesionalisme, integriti dan mematuhi undang-undang, selain memastikan setiap tindakan dilaksanakan secara adil, telus dan berlandaskan peruntukan perundangan.
Sesi tersebut turut dihadiri oleh Ketua-Ketua Jabatan, Ketua-Ketua Polis Daerah, Ketua-Ketua Formasi, pegawai kanan polis serta pengamal media tempatan. – The Capital Post