PUTRAJAYA 23 Jun 2026 (The Capital Post) – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terus memperkukuh hubungan strategik bersama kesatuan sekerja apabila menerima kunjungan hormat daripada barisan kepimpinan Majlis Presiden dan Setiausaha Agung Kesatuan Sekerja KKM (MAPSU-KKM) di Ibu Pejabat KKM, Putrajaya.
Kunjungan tersebut disambut oleh Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Malaysia, YBhg. Datuk Seri Hj. Hasnol Zam Zam Hj. Ahmad, sebagai sebahagian usaha memperkukuh kerjasama antara pengurusan tertinggi kementerian dan wakil kesatuan sekerja dalam memperjuangkan kebajikan warga kerja kesihatan.
Sesi pertemuan itu menjadi platform penting bagi kedua-dua pihak membincangkan pelbagai isu berkaitan kesejahteraan anggota, penambahbaikan persekitaran kerja serta usaha berterusan dalam meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan kesihatan kepada rakyat.
-Advertisement-
KKM dalam pada itu menegaskan komitmennya untuk terus mengiktiraf peranan kesatuan sekerja sebagai rakan strategik yang memainkan peranan penting dalam menyuarakan pandangan serta cadangan membina demi memperkukuh sistem kesihatan negara secara menyeluruh.
Antara yang turut hadir dalam sesi tersebut ialah YBrs. Encik Ajulahin bin Japin selaku Pengerusi MAPSU, YBrs. Encik Roestam bin Azahar selaku Setiausaha MAPSU, YBrs. Tuan Haji Kamal bin Abu Bakar selaku Timbalan Setiausaha MAPSU, serta YBrs. Puan Nuruljanah binti Md. Yusof selaku Timbalan Setiausaha MAPSU. – The Capital Post