KKM Perkukuh Pendekatan Sains Dan Tindakan Komuniti Lindungi Kesihatan Rakyat

Estimate Reading Time: 2 minutes

PUTRAJAYA 27 September 2026 (The Capital Post) – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terus memperkukuh pendekatan berasaskan sains dan tindakan komuniti bagi melindungi kesihatan rakyat daripada risiko persekitaran menerusi Sambutan Hari Kesihatan Persekitaran Sedunia Peringkat KKM Tahun 2026 yang berlangsung semalam.

Majlis yang diadakan di Institut Kesihatan Negara itu dirasmikan oleh Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad, dengan tema “Environmental Health: Standing with Science to Protect Communities”, selaras dengan usaha KKM menterjemahkan bukti saintifik kepada tindakan pencegahan bersama komuniti.

Dalam ucapan perasmiannya, Dzulkefly menekankan bahawa perubahan iklim dan persekitaran semakin memberi kesan terhadap kesihatan manusia, termasuk meningkatkan risiko penyakit, memberi tekanan kepada fasiliti kesihatan serta mempengaruhi corak penularan penyakit zoonotik dan bawaan vektor.

Beliau turut menjelaskan bahawa kesihatan manusia, haiwan dan alam sekitar saling berkait, dengan perubahan pada satu komponen berpotensi memberi kesan kepada komponen yang lain.

Denggi menjadi antara contoh yang jelas apabila perubahan suhu, hujan dan kelembapan boleh mempengaruhi ekosistem nyamuk Aedes. Justeru, usaha pencegahan perlu bermula di peringkat lapangan melalui penghapusan tempat pembiakan, memastikan tiada takungan air serta penglibatan masyarakat sebagai sebahagian daripada sistem pencegahan.

Majlis itu turut menyaksikan pembentangan berkaitan usaha komuniti mengesan dan membersihkan tempat pembiakan Aedes serta penggunaan sticky ovitrap sebagai antara pendekatan kawalan vektor.

KKM turut menekankan peranan komuniti bukan hanya sebagai penerima intervensi kesihatan, sebaliknya sebagai sebahagian daripada sistem amaran awal dan penyelesaian. Pendekatan berkenaan akan diperkukuh melalui penggunaan data persekitaran bersama data penyakit bagi mengenal pasti risiko lebih awal.

Data berkaitan cuaca, kualiti udara, taburan hujan, keadaan persekitaran dan vektor akan diteliti secara bersama dengan data penyakit bagi menyokong tindakan yang lebih bersifat prediktif dan preventif.

-Advertisement-

Dalam aspek pembangunan fasiliti kesihatan, KKM turut memberi tumpuan kepada pendekatan Fasiliti Kesihatan Lestari atau Environmentally Sustainable Healthcare yang meliputi kecekapan tenaga, kualiti udara dalaman, pengurusan sumber dan sisa serta usaha mengurangkan pelepasan karbon.

Sehingga 2025, sebanyak 147 hospital dan institusi KKM telah memperoleh pensijilan hijau, manakala 87 fasiliti kesihatan melaksanakan Penempatan Sejahtera pada 2026. KKM turut menyasarkan 50 peratus fasiliti kesihatan melaksanakan pendekatan berkenaan menjelang 2030.

Pengiktirafan kepada fasiliti yang melaksanakan konsep Penempatan Sejahtera turut disampaikan pada majlis berkenaan sebagai penghargaan terhadap warga kesihatan yang menterjemahkan prinsip kesihatan persekitaran kepada perubahan di tempat kerja dan komuniti.

Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) pula menghasilkan Panduan Penilaian Kerentanan Kesihatan Terhadap Perubahan Iklim dalam Kalangan Komuniti Pulau Kecil bagi menyokong usaha mengenal pasti komuniti rentan serta merancang langkah adaptasi berdasarkan bukti saintifik.

KKM akan terus memperkukuh survelan penyakit yang sensitif terhadap perubahan persekitaran dan iklim, termasuk penyakit bawaan vektor seperti denggi dan malaria, penyakit bawaan makanan serta air, selain penyakit berkaitan jerebu dan cuaca panas.

Kerajaan, pihak berkuasa tempatan, akademia, industri, komuniti dan rakyat turut digesa bergerak sebagai satu ekosistem Whole-of-Society bagi membangunkan sistem kesihatan yang lebih bersedia, lestari dan berdaya tahan dalam menghadapi perubahan pada masa hadapan – The Capital Post