LANGKAWI 8 Julai 2026, (The Capital Post) – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) kini menerima semula aset strategiknya apabila Kapal Maritim (KM) Sugut kembali beroperasi selepas selesai menjalani proses pembaikan dan naik taraf secara menyeluruh di limbungan LUNAS Langkawi Shipyard.
Majlis penyerahan semula kapal berkenaan disempurnakan oleh Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa sebagai simbolik pengembalian aset tersebut ke dalam perkhidmatan bagi memperkukuh keupayaan operasi agensi.
Kerja-kerja naik taraf yang dilaksanakan merangkumi pemulihan struktur kapal, penyelenggaraan sistem mekanikal dan elektrikal serta penambahbaikan pelbagai sistem serta peralatan kritikal bagi memastikan KM Sugut berada pada tahap kesiapsiagaan operasi yang maksimum.
Menurut Romli, pengoperasian semula kapal itu merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Maritim Malaysia untuk meningkatkan kecekapan aset dalam melaksanakan penguatkuasaan undang-undang di laut, operasi mencari dan menyelamat (CARILAMAT), rondaan keselamatan serta pelbagai tugasan maritim yang lain.
-Advertisement-
Beliau berkata, usaha memperkasa aset agensi mencerminkan komitmen berterusan Maritim Malaysia bersama Kementerian Dalam Negeri dalam memperkukuh keupayaan operasi bagi menghadapi cabaran keselamatan maritim yang semakin kompleks, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan penyampaian perkhidmatan awam yang cekap, berintegriti dan berkesan.
Tambah beliau, keberkesanan sesebuah agensi penguatkuasaan bukan sahaja bergantung kepada kecekapan anggotanya, malah turut memerlukan aset yang sentiasa berada dalam keadaan terbaik bagi memastikan keselamatan, keamanan dan kedaulatan Zon Maritim Malaysia terus terpelihara. Pengoperasian semula KM Sugut dijangka memperkukuh keupayaan Maritim Malaysia dalam memastikan keselamatan perairan negara sentiasa berada pada tahap optimum demi kepentingan rakyat dan negara. – The Capital Post