KUALA LUMPUR 8 Julai 2026, (The Capital Post) – Kementerian Pertahanan hari ini melancarkan secara rasmi Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2027 (LIMA’27) dalam satu majlis yang berlangsung di Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC), sekali gus menandakan permulaan persiapan bagi penganjuran pameran pertahanan terbesar di rantau Asia Tenggara.
Majlis pelancaran itu disempurnakan oleh Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Dato’ Seri Haji Malek Razak Sulaiman bersama Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Lokman Hakim Ali yang juga Pengerusi Bersama LIMA’27.
Bertemakan “Menerajui Visi Lestari Merentasi Laut, Udara dan Angkasa”, LIMA’27 dijadual berlangsung di Langkawi, Kedah dari 20 hingga 24 April 2027. Pameran dwitahunan yang dianjurkan Kementerian Pertahanan dengan kerjasama Global Exhibition & Conference Sdn. Bhd. (GEC) itu dijangka terus mengukuhkan kedudukannya sebagai platform utama industri pertahanan, maritim dan aeroangkasa di Asia Tenggara, selain menampilkan empat pasukan aerobatik elit dunia.
-Advertisement-
Penganjuran edisi kali ini menyasarkan penyertaan sebanyak 930 syarikat pempamer dari 36 negara, kehadiran lebih 450 delegasi rasmi mewakili 65 negara serta sekitar 400,000 pengunjung sepanjang pameran berlangsung.
Selain menjadi platform jaringan industri dan diplomasi pertahanan, LIMA’27 turut memberi tumpuan kepada teknologi pertahanan generasi baharu termasuk kecerdasan buatan (AI), sistem autonomi, kenderaan udara tanpa pemandu (UAV), keselamatan siber dan teknologi angkasa bagi menyokong pembangunan industri pertahanan negara serta memperkukuh kerjasama strategik di peringkat antarabangsa. Majlis pelancaran itu turut dihadiri pegawai kanan Kementerian Pertahanan, Angkatan Tentera Malaysia, wakil diplomatik asing, pemain industri pertahanan tempatan dan antarabangsa serta rakan strategik LIMA’27. – The Capital Post