Kolam digital, kaedah pembelajaran menyeronokkan mengenai Deepavali

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR,  — Sambutan Deepavali tahun ini memberi peluang kepada golongan kanak-kanak menimba pengetahuan melalui kaedah lebih menyeronokkan, kreatif dan memperkayakan golongan celik ini terutama mengenai kepentingan kolam rangoli.

-Advertisement-

Sempena Projek Pengekodan Perayaan yang diilhamkan oleh Deepavali dan Demonstrasi Kolam baru-baru ini, kanak-kanak berusia lima hingga lapan tahun diajar untuk menghasilkan kolam digital dengan menggabungkan budaya dan teknologi.

Pengasas CodeJuniors Jacqueline Lee berkata tidak seperti cara konvensional, kolam digital memerlukan lebih kreativiti, pemahaman, keazaman serta kemahiran menyelesaikan masalah yang mudah diserap oleh kanak-kanak berbanding membaca dan menulis.

“Ini adalah pengekodan asas yang kami lakukan untuk kolam digital yang kami akan perkenalkan kepada mereka (kanak-kanak) untuk betul-betul memahami apa yang sebenarnya mereka boleh lakukan sendiri, sama ada ia dalam bentuk animasi atau cerita interaktif, melalui budaya,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Dalam program yang berlangsung dua jam di Galeri Ilham di sini, kanak-kanak itu diajar menghasilkan kolam rangoli menggunakan reka bentuk lampu minyak melalui tablet PC, dan bukan menggunakan serbuk berwarna.

Sementara itu, fasilitator akan menerangkan maksud setiap bahagian lampu yang digunakan semasa sambutan Deepavali yang disambut pada 27 Okt, tahun ini.

Jacqueline berkata kanak-kanak itu juga perlu menggunakan butang visual yang disediakan dalam tablet tersebut untuk membuat lampu, sumbu kapas, api dan bunga mengikut kreativiti mereka.

-Advertisement-

Sementara itu, penyelaras program kanak-kanak di Ilham Gallery Li-Hsian Choo berkata kaedah digital adalah baik kerana ia menawarkan pembelajaran yang menyeronokkan dan mudah diingat.

“Ini akan menjadi cara pembelajaran yang berbeza berbanding cara konvensional iaitu duduk di dalam kelas, membaca dan menghafal yang mereka mungkin tidak mahu tahu,” katanya.

Choo menambah menggabungkan pelbagai elemen seni dan pendekatan terutama dalam subjek berkaitan budaya, akan membolehkan kanak-kanak itu lebih memahami orang dan dunia di sekeliling mereka.

“Kami mempunyai aktiviti sama bagi Hari Raya, Tahun Baharu Cina, Krismas dan Halloween sejak tahun lepas…sambutannya amat menggalakkan daripada ibu bapa dan kanak-kanak dari pelbagai kaum dan agama,” katanya.

Perayaan Deepavali atau dikenali sebagai Pesta Cahaya disambut oleh masyarakat India yang beragama Hindu di seluruh dunia, sebagai lambang kejayaan kebaikan melawan kejahatan.– BERNAMA