Komen, ‘gurauan balas’ jadi hiburan netizen di Facebook polis Penampang

Estimate Reading Time: 2 minutes

KOTA KINABALU: Penjelasan polis Penampang, Sabah di laman Facebooknya berhubung bilangan individu yang dibenarkan berada dalam kenderaan sewaktu pelaksanaan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) mendapat pelbagai reaksi netizen, termasuk mereka yang memberi komen lucu.

-Advertisement-

Malah, penjelasan yang dibuat semalam itu kini mendapat lebih 240 komen, selain dikongsi hampir 500 kali.

Dalam hantaran itu, pentadbir (admin) laman Facebook berkenaan memberikan contoh soalan seperti: ”boleh terangkan kepada kami berhubung jumlah individu dalam kenderaan mengikut SOP (prosedur operasi standard)?”.

Ia kemudian menjawab: ”baca betul-betul apa yang admin terangkan di sini, oleh kerana ramai yang komen dan PM (hantar mesej peribadi) mengenai isu ini (jumlah individu dalam kenderaan ketika PKPB) sedangkan MKN (Majlis Keselamatan Negara) telah mengeluarkan SOP dan admin telah berkali-kali memberi pencerahan.

”Apabila viral mengenai info palsu baru ramai yang menggelabah bertanyakan soalan yang sudah ada jawapan, tidak apa, admin tenang di posisi layan anda semua,” katanya disusuli dengan penjelasan berhubung perkara berkenaan.

Antara komen yang mendapat reaksi ramai ialah daripada seorang pengguna Facebook dengan nama akaun Lucia Samuel yang menceritakan bagaimana beliau dan suami tidak jadi keluar rumah gara-gara tidak mahu duduk di tempat duduk penumpang hadapan.

”Saya mahu duduk bebab patuh arahan MKN, namun suami marah, tetapi saya berkeras untuk duduk di belakang sebab takut kena kompaun, akibatnya kami bertengkar dan tidak jadi keluar,” katanya.

-Advertisement-

Admin Facebook itu kemudian membalasnya: ”betul, tidak payah keluar, jimat duit minyak…berterima kasihlah kepada admin”.

Seorang lagi netizen yang menggunakan akaun bernama Odoi Dogo pula memberi komen dalam bentuk gurauan: ”selamat pagi tuan, boleh kah saya pergi jumpa ‘skandal’ masa PKPB ini, kebetulan waktu hujan lagi,” katanya yang kemudian dibalas oleh admin ”astaga, boleh tahan, apapun ‘please stay at home’.”

Selain itu, admin turut dilihat membalas komen netizen dengan cara bergurau selepas seorang yang menggunakan akaun bernama Tujuh Petala bertanya sama ada pasangan suami isteri harus duduk berjauhan dalam kenderaan atau sebaliknya.

”Biasa isteri merajuk dia duduk belakang tuan, kena pujuk, admin pun pernah begitu. Tetapi tidak jadi kesalahan penumpang serumah duduk sebelah pemandu, penumpang mahu duduk manapun tidak kisah, janji tidak duduk atas pemandu,” balas admin.

Walaupun banyak komen yang dibalas dalam bentuk gurauan, namun beberapa persoalan yang ditimbulkan netizen tetap dijelaskan dengan baik oleh admin Facebook berkenaan.

Beberapa netizen turut memuji admin yang dilihat begitu berdedikasi dalam menjawab segala persoalan di ruangan komen. -FMT


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373