Komunikasi bapa, didik anak perlu berlandaskan Al-Quran

Estimate Reading Time: 3 minutes

Kebiasaannya apabila memperkatakan hal mendidik anak, ibu dilihat memiliki peranan sangat penting berbanding bapa. Hal ini mungkin kerana fitrah wanita mengandung, melahirkan dan menyusukan pada awal fasa kehidupan anak itu, menyebabkan peranan ibu sangat rapat dan sinonim dengan pendidikan anak.

-Advertisement-

Bapa pula dilihat sebagai pencari nafkah untuk memenuhi keperluan rumah tangga semata-mata. Hakikatnya Islam melalui pengajaran daripada ayat al-Quran menunjukkan panduan tepat bagaimana seorang bapa berfungsi dalam pendidikan anak dalam keluarganya.

Bagaimanapun, apabila dilihat secara umum, bilangan ayat al-Quran menyentuh peranan keibubapaan perlu dilakukan oleh ibu bapa terhadap anak secara langsung amat sedikit dinyatakan, berbanding ayat berkaitan tanggungjawab anak kepada ibu bapa.

Di samping itu, menurut al-Syarqawi, watak bapa dalam kisah al-Quran dilihat lebih dominan dengan gambaran sifat dan pernyataan lebih jelas berbanding watak ibu.

Daripada ayat inilah pengajaran fungsi bapa dan pendidikan anak dapat dilihat. Antara ayat itu ialah dalam surah al-Baqarah pada 125-132, surah Luqman pada ayat 12-19, surah Hud (ayat 42-46), surah Yusuf (ayat 4-6), surah Maryam (ayat 5-13), surah al-Qasas (ayat 23-28 dan surah al-Anbiya’ (ayat 78-79).

Watak bapa dinyatakan dalam ayat berkenaan memperihalkan keadaan dan situasi berbeza. Ada situasi tenang dan aman, ada situasi ketika konflik berlaku antara bapa dan anak, situasi bapa menangani anak berkonflik, situasi bapa menjalankan tugasan buat ummah dan situasi bapa berada dalam keadaan ketidakmampuan.

Situasi bagi watak ibu dalam ayat lain pula, tertumpu kepada situasi ibu bersama anak masih kecil ataupun ketika anak belum ada lagi.

Situasi digambarkan dalam al-Quran ini pastinya memberikan petunjuk kepada kita bahawa al-Quran mengajar kita peranan dan tanggungjawab bapa menyeluruh berbanding peranan ibu.

Justeru, bapa perlu cakna dan berperanan sebagai pengemudi dalam pendidikan anak kerana bertepatan dengan ciri ‘qawwam’ yang Allah jadikan dalam diri mereka.

Bapa juga perlu menjadi rujukan anaknya. Kisah menunjukkan panduan ini membabitkan Nabi Yusuf AS menceritakan mimpinya kepada ayahandanya Nabi Yaakub AS.

Hal ini tidak mungkin berlaku secara spontan, melainkan si bapa pasti memiliki hubungan baik dengan anaknya sehingga menimbulkan rasa percaya dan selesa untuk mengajukan permasalahan dihadapi kepada si bapa.

-Advertisement-

Hal ini dibuktikan dengan penggunaan kata panggilan ‘ya bunaiya’ diungkapkan Nabi Yaakub AS kepada anaknya Yusuf AS. Kata panggilan sedemikian adalah dalam bentuk sangat lembut menunjukkan hati Nabi Yaakub AS sangat dekat dengan anaknya serta disulami dengan penuh kasih sayang terhadap anaknya.

Bapa berperanan dalam pendidikan anak perlu sentiasa bercakap atau berkomunikasi dengan anaknya. Apabila dilakukan pemerhatian terhadap ayat al-Quran, didapati terdapat satu perkara konsisten pada setiap ayat kisah watak bapa, iaitu
dialog antara bapa dan anak.

Kisah Luqman al-Hakim, kisah Nabi Ibrahim AS dan Nabi Ismail ketika mendirikan Kaabah, kisah Nabi Nuh AS, kisah Nabi Syuaib AS, Nabi Yaakub AS mengetahui mimpi anaknya Nabi Yusuf AS dan wasiat Nabi Yaakub AS kepada anaknya semua dipaparkan Allah SWT dengan unsur dialog atau percakapan antara dua pihak atau lebih.

Dalam hal ini, kebiasaan adat masyarakat tradisional meletakkan tanggungjawab untuk berdialog atau bercakap sesuatu kepada anak adalah kepada ibu kerana sifat mereka lebih halus dan lembut. Namun, al-Quran menunjukkan sebaliknya untuk menyatakan kepentingan berdialog dengan anak ini adalah antara perkara penting perlu dilakukan bapa.

Bapa bukan hanya perlu bersuara apabila anak dirundung masalah, bahkan interaksi dialog dan perbualan ini perlu menjadi kelaziman harian antara seorang bapa dan anaknya. Daripada komunikasi baik, akan terhasil nasihat dan teguran konsisten serta doa.

Bapa juga perlu mengajak anak berkhidmat untuk keluarga dan masyarakat. Perkara ini penting perlu dilakukan bapa. Amalan dan perbuatan ini tidak terhad kepada aktiviti kekeluargaan semata-mata, tetapi lebih jauh lagi ia menyentuh perkara memberi manfaat kepada masyarakat setempat.

Pendekatan ini sangat jelas ditunjukkan dalam kisah Nabi Ibrahim AS bersama anaknya Nabi Ismail AS membina Kaabah secara bersama.

Hal ini adalah kemuncak qudwah atau contoh terbaik dilakukan seorang bapa dalam mendidik anaknya. Seorang bapa berperanan dengan baik akan berusaha membabitkan dan mengajak anaknya ke arah kebaikan bersama-sama seperti dilakukannya.

Penulis adalah Pensyarah Kanan, Jabatan Pengajian Islam, Fakulti Sains Kemanusiaan, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)

-BH