KPDN Lancar Kampung Angkat MADANI Sabah

Estimate Reading Time: < 1 minute

SABAH 19 Julai 2026 (The Capital Post) – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) melancarkan Program Kampung Angkat MADANI ketiga di bawah kelolaannya bertempat di Kampung Sekalong, Menumbok, Sabah sebagai usaha memperkukuh pembangunan komuniti serta meningkatkan kemudahan asas penduduk setempat.

Kampung Sekalong dipilih sebagai lokasi Kampung Angkat MADANI berdasarkan beberapa kriteria ditetapkan, termasuk tahap liputan kemudahan asas yang masih berada di bawah 50 peratus. Program ini bertujuan memperkasakan potensi kampung serta meningkatkan keupayaan masyarakat melalui pendekatan pembangunan yang menyeluruh.

Sebelum ini, KPDN telah melaksanakan program sama di Mukim Kaiduan, Papar, Sabah pada tahun 2024 dan Mukim Tikam Batu, Kedah pada tahun 2026.

Sebanyak lima projek fizikal telah dikenal pasti untuk dilaksanakan di Kampung Sekalong dengan sasaran siap sepenuhnya menjelang penghujung tahun 2026. Projek berkenaan melibatkan pembinaan dewan serba guna terbuka, kerja menaik taraf jalan kampung, pembinaan dan pembaikan pembetung, pemasangan lampu solar serta pembinaan mercu tanda Kampung Sekalong.

-Advertisement-

Majlis pelancaran tersebut disempurnakan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, YB Datuk Armizan Mohd Ali, dengan turut dihadiri ADUN Kuala Penyu, YB Datuk Limus Jury serta Ketua Setiausaha KPDN, YBhg. Dato’ Seri Mohd Sayuthi Bin Bakar bersama pegawai kanan kementerian dan kerajaan tempatan.

Dalam program berkenaan, YB Datuk Armizan turut menyampaikan sumbangan, hadiah cabutan bertuah serta merasmikan sesi “Happy Hour” sempena Program Jualan RAHMAH MADANI (PJRM) yang dianjurkan bersempena pelancaran Kampung Angkat MADANI tersebut.

Pelaksanaan inisiatif ini mencerminkan komitmen KPDN dalam memperluas agenda kesejahteraan rakyat melalui pembangunan komuniti yang inklusif serta memberi manfaat berterusan kepada penduduk setempat. – The Capital Post