KPM Angkat Budaya Membaca, Raikan 100 Tahun Buku Teks

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR 21 Ogos 2026 (The Capital Post) – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) terus memperkukuh budaya membaca dalam kalangan murid menerusi penganjuran Majlis Anugerah Tokoh NILAM Kebangsaan 2026 yang dirasmikan oleh Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, YBhg. Datuk Dr. Mohd. Azam bin Ahmad, semalam.

Anugerah tersebut memberi pengiktirafan kepada murid yang menunjukkan kecemerlangan dalam amalan membaca, selain berupaya memahami, menilai dan mengembangkan pengetahuan melalui pendekatan kreatif serta perkongsian ilmu.

Sebanyak empat pengiktirafan utama diketengahkan menerusi Anugerah Tokoh NILAM Kebangsaan 2026, iaitu Pengkarya Muda, Video TV PSS, Pembaca Bestari dan Bicara Buku.

Majlis yang sama turut menyaksikan peluncuran Buku 100 Tahun Buku Teks Kementerian Pendidikan sebagai sebuah dokumentasi yang merakam perjalanan serta perkembangan buku teks di Malaysia sepanjang tempoh satu abad.

-Advertisement-

Penerbitan berkenaan bukan sahaja menghimpunkan sejarah evolusi buku teks dalam sistem pendidikan negara, malah menjadi sebahagian daripada khazanah pendidikan yang menggambarkan perubahan pendekatan pembelajaran dan perkembangan ilmu dari semasa ke semasa.

Penganjuran majlis dan peluncuran buku tersebut mencerminkan usaha KPM untuk menggalakkan budaya membaca serta menghargai sejarah pendidikan dalam kalangan generasi muda.

Inisiatif berkenaan turut mengangkat peranan guru dalam membentuk generasi berilmu dan berdaya saing, selaras dengan aspirasi “Tahun Ini, Tahun Kita” serta tema “Guru Bitara Nadi Negara”. – The Capital Post