KEDAH 29 Julai 2026, (The Capital Post) – Kementerian Pendidikan (KPM) terus memperkukuh persediaan bagi memastikan pelaksanaan Kurikulum Persekolahan 2027 dilaksanakan secara terancang, tersusun dan berkesan menerusi penganjuran Penataran Kurikulum Subjek Dini dan Tahfiz yang berlangsung dari 27 hingga 30 Julai.
Pengarah Bahagian Pendidikan Islam (BPI), Tuan Haji Omar Salleh, berkata keseragaman kefahaman dalam kalangan pendidik merupakan elemen penting bagi memastikan pelaksanaan kurikulum dapat dilaksanakan secara konsisten di semua sekolah. Beliau menegaskan bahawa kualiti pelaksanaan Kurikulum Dini dan Tahfiz perlu terus dipertingkatkan supaya objektif kurikulum dapat diterjemahkan secara menyeluruh.
Menurut beliau, program penataran tersebut menjadi platform utama untuk meningkatkan kefahaman guru terhadap falsafah, kandungan serta kaedah pelaksanaan kurikulum agar dapat diaplikasikan dengan tepat dan berkesan dalam proses pengajaran dan pembelajaran.
Beliau turut menjelaskan bahawa Kurikulum Dini dan Tahfiz merupakan inisiatif strategik KPM dalam melahirkan generasi yang seimbang dari aspek ilmu, iman, amal dan akhlak. Katanya, kejayaan pelaksanaan kurikulum bukan hanya bergantung kepada penyampaian kandungan pembelajaran, malah kepada keupayaan guru membimbing murid menghayati nilai-nilai Islam dan membentuk sahsiah yang unggul.
-Advertisement-
Dalam pada itu, beliau menyifatkan Guru Pembimbing sebagai pemimpin instruksional yang memainkan peranan penting sebagai rujukan profesional di sekolah. Melalui bimbingan berterusan, perkongsian amalan terbaik serta komitmen semua pihak, pelaksanaan Kurikulum Dini dan Tahfiz diyakini dapat diperkasakan bagi melahirkan murid yang cemerlang, berdaya saing dan berakhlak mulia.
Majlis tersebut turut dihadiri Timbalan Pengarah Sektor Kurikulum Pendidikan Islam dan Bahasa Arab, Bahagian Pendidikan Islam, Tuan Haji Azizan Muhammad; Ketua Penolong Pengarah Kanan Sektor Pendidikan Islam, Jabatan Pendidikan Negeri Kedah, Tuan Haji Mahir Mohamad; selain pegawai Bahagian Pendidikan Islam, Jemaah Nazir, wakil Jabatan Pendidikan Negeri, Institut Pendidikan Guru, institusi agama serta guru-guru Dini dan Tahfiz dari seluruh negara. – The Capital Post