GEORGE TOWN 25 OKTOBER 2026 (The Capital Post) – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) terus memperkukuh usaha memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa perpaduan dan bahasa ilmu menerusi Majlis Pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan 2026 Peringkat Kebangsaan yang berlangsung di Padang Kota Lama, George Town, Pulau Pinang, hari ini.
Majlis tersebut turut dihadiri Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (Sektor Pembangunan Profesionalisme), YBhg. Dato’ Amzan bin Abd Malek, sebagai tanda sokongan terhadap usaha memperkasa penggunaan dan penghayatan bahasa Melayu dalam kalangan masyarakat.
Bertemakan “Bahasa Kita Wajah Kita”, program anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) itu bertujuan menyemarakkan kecintaan terhadap bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara, di samping memperkukuh jati diri dan identiti bangsa Malaysia.
Penganjuran Bulan Bahasa Kebangsaan menjadi platform penting untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai peranan bahasa Melayu dalam membina perpaduan serta memupuk semangat kebangsaan dalam kalangan rakyat berbilang kaum.
-Advertisement-
Dalam konteks pendidikan, KPM kekal komited memastikan bahasa Melayu terus dimartabatkan sebagai lambang identiti dan warisan negara, selain menjadi medium penting dalam penyampaian ilmu serta pembentukan generasi yang menghargai bahasa kebangsaan.
Usaha berterusan ini juga diharap dapat menggalakkan penggunaan bahasa Melayu yang baik dan betul dalam kehidupan seharian, sekali gus memastikan bahasa kebangsaan terus relevan dan dihargai oleh generasi masa kini serta akan datang.
Komitmen memartabatkan bahasa Melayu bukan sahaja memelihara warisan negara, malah memperkukuh asas perpaduan dan keharmonian masyarakat Malaysia. – The Capital Post