ASHGABAT 25 OKTOBER 2026 (The Capital Post) – Malaysia terus memperkukuh hubungan ekonomi dua hala dengan Turkmenistan menerusi penyertaan dalam OGT 2026 di Ashgabat, dengan tumpuan kepada penerokaan peluang kerjasama strategik dalam industri tenaga serta peluasan akses pasaran bagi syarikat tempatan.
Menteri Ekonomi, YB Tuan Haji Akmal Nasrullah Haji Mohd Nasir, yang mengetuai delegasi Malaysia ke OGT 2026, mengadakan beberapa pertemuan strategik bersama kepimpinan kerajaan dan pemain industri utama Turkmenistan bagi memperluas hubungan perdagangan serta kerjasama dalam sektor tenaga.
Antara pertemuan tersebut ialah mesyuarat dua hala bersama Menteri Kewangan dan Ekonomi Turkmenistan, TYT Mammetguly Astanagulov, bagi membincangkan ruang kerjasama ekonomi antara kedua-dua negara.
Beliau turut mempengerusikan bersama Meja Bulat Kerjasama Tenaga Malaysia–Turkmenistan bersama Menteri Negara merangkap Pengerusi State Concern Turkmengas, TYT Maksat Babayev, dan TYT Mammetguly Astanagulov.
Selain itu, YB Menteri turut mengadakan sesi libat urus bersama Turkmengas serta pengendali tenaga antarabangsa, termasuk Dragon Oil dan Eni Turkmenistan Limited.
Perbincangan tersebut memberi tumpuan kepada usaha memperluas peluang pasaran dan komersial bagi syarikat Malaysia, khususnya dalam sektor perkhidmatan dan peralatan minyak dan gas (OGSE), kejuruteraan, teknologi serta pembangunan kepakaran industri.
-Advertisement-
Langkah ini mencerminkan usaha Malaysia untuk memperluas penyertaan syarikat tempatan dalam rantaian nilai tenaga global, berasaskan hubungan kerjasama tenaga yang telah lama terjalin antara kedua-dua negara.
Pada masa sama, usaha memperkukuh jaringan antarabangsa ini selaras dengan aspirasi Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) untuk meningkatkan daya saing industri, mengembangkan eksport perkhidmatan bernilai tinggi serta memperluas pengantarabangsaan syarikat Malaysia.
Kerjasama strategik berkenaan diharap dapat membuka ruang pertumbuhan baharu kepada industri negara melalui peluasan pasaran, pemindahan kepakaran dan penerokaan peluang perniagaan dalam sektor tenaga antarabangsa.
Daripada diplomasi kepada peluang komersial, Malaysia terus berusaha memastikan hubungan antarabangsa dapat diterjemahkan kepada manfaat ekonomi yang lebih luas serta peluang pertumbuhan berterusan kepada syarikat tempatan. – The Capital Post