LIANYUNGANG 11 September 2026 (The Capital Post) – Ketua Polis Negara (KPN), IG Tan Sri Dato’ Seri Hj. Mohd Khalid Hj. Ismail menyertai Conference of Global Public Security Cooperation Forum (GPSCFL 2026) yang berlangsung dari 8 hingga 10 September 2026 bagi memperkukuh hubungan serta kerjasama dalam bidang keselamatan awam dan penguatkuasaan undang-undang, khususnya dalam menangani ancaman jenayah siber dan penipuan dalam talian yang semakin kompleks.
Dalam kunjungan tersebut, Tan Sri Dato’ Seri Hj. Mohd Khalid bersama Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, CP Dato’ Rusdi Mohd Isa serta beberapa pegawai kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengadakan sesi libat urus bersama Timbalan Menteri Ministry of Public Security (MPS) merangkap Deputy Commissioner General of Police, Mr. Yang Weilin di Haizhou Bayview Hotel.
Pertemuan itu menjadi medan pertukaran pandangan dan pengalaman berkaitan isu keselamatan serta penguatkuasaan undang-undang, selain membuka ruang untuk memperkukuh kerjasama antara PDRM dan pihak berkuasa keselamatan Republik Rakyat China.
KPN turut menghadiri mesyuarat dua hala yang disertai Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bersama Minister of Interior Pakistan, Syed Mohsin Raza Naqvi.
-Advertisement-
Sebelum itu, Tan Sri Dato’ Seri Hj. Mohd Khalid bersama delegasi PDRM mengunjungi The 3rd Public Security Technology Expo di Haizhou Bayview Conference Centre bagi meninjau perkembangan teknologi keselamatan awam yang berpotensi menyokong usaha pencegahan jenayah.
Delegasi PDRM turut menghadiri majlis pembukaan GPSCFL 2026 yang menghimpunkan wakil dan pihak berkepentingan dalam bidang keselamatan awam serta penguatkuasaan undang-undang dari pelbagai negara.
Penyertaan Malaysia dalam forum berkenaan mencerminkan komitmen PDRM untuk memperluas jaringan kerjasama antarabangsa serta memperkukuh keupayaan menghadapi ancaman keselamatan rentas sempadan, termasuk jenayah siber dan penipuan dalam talian – The Capital Post