KPPM Dengar Aspirasi Warga Pendidikan di SMK Pengkalan Chepa

Estimate Reading Time: < 1 minute

KELANTAN, 19 Ogos 2026 (The Capital Post) – Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, YBhg. Datuk Dr. Mohd. Azam bin Ahmad, turun padang ke Sekolah Menengah Kebangsaan Pengkalan Chepa bagi mendengar pandangan, cadangan dan aspirasi warga pendidikan menerusi program Tanya Sama KPPM.

Sesi berkenaan menjadi platform untuk mendapatkan maklum balas secara langsung daripada warga sekolah, selaras dengan aspirasi Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026–2035 yang memberi penekanan kepada peningkatan kualiti pendidikan, pendigitalan pembelajaran, kesejahteraan murid dan guru serta peluasan akses pendidikan yang saksama.

Dalam kunjungan tersebut, Mohd. Azam turut beramah mesra bersama warga sekolah selain meninjau kawasan dan pengoperasian sesi persekolahan.

-Advertisement-

Program itu mencerminkan usaha Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk terus mendekati warga pendidikan serta memahami keperluan dan cabaran di peringkat sekolah dalam memperkukuh sistem pendidikan negara.

Menurut hantaran di laman Facebook rasmi Kementerian Pendidikan Malaysia, program tersebut turut membawa tema “Tahun Ini, Tahun Kita” dan “Guru Bitara Nadi Negara”. – The Capital Post