KPT Perkukuh Pengurusan Aset IPTA

Estimate Reading Time: 2 minutes

PUTRAJAYA 20 Mei 2026, Malaysia (The Capital Post) – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sedang memperkukuh pengurusan aset Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) menerusi pembangunan Pelan Strategik Pengurusan Aset (Operasi) 2026–2030 bagi meningkatkan kecekapan tadbir urus serta memastikan penggunaan infrastruktur pendidikan tinggi dapat dioptimumkan secara menyeluruh.

Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan) KPT, Mohd Nor Azman Hassan berkata, inisiatif tersebut menjadi langkah penting dalam memperkasakan pengurusan aset universiti awam, politeknik dan kolej komuniti secara lebih terancang, sistematik dan bersepadu.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Bengkel Penyediaan Pelan Strategik Pengurusan Aset (Operasi) KPT 2026–2030 yang berlangsung di Putrajaya pada Selasa.

Menurut beliau, pengurusan aset yang cekap memainkan peranan besar dalam memastikan ekosistem pendidikan tinggi negara kekal mampan selain menyokong keberkesanan operasi institusi pengajian tinggi awam.

Tambahnya, kerjasama dan penyelarasan dasar antara Kerajaan Persekutuan serta kerajaan negeri juga perlu diperkukuh supaya setiap aset pendidikan tinggi dapat diurus dengan lebih responsif dan sejajar dengan agenda pembangunan negara.

Beliau menjelaskan bahawa pengurusan aset melibatkan tanah, bangunan serta kemudahan pengajaran dan pembelajaran perlu dilaksanakan berasaskan pendekatan kitaran hayat bagi memastikan infrastruktur kekal berkualiti dan berfungsi dengan baik untuk tempoh jangka panjang.

-Advertisement-

Dalam pada itu, beliau turut mengakui bahawa isu berkaitan pengurusan data aset yang tidak lengkap, tidak dikemas kini dan tidak seragam masih menjadi cabaran utama sehingga menjejaskan proses penyelenggaraan serta perancangan strategik kementerian.

Katanya lagi, penggunaan peruntukan penyelenggaraan yang kurang efisien turut menyumbang kepada masalah aset usang yang berulang walaupun dana tahunan terus disalurkan.

Sehubungan itu, KPT kini mempertingkat pembangunan repositori digital aset bersepadu bagi memastikan semua maklumat berkaitan aset dapat diselaraskan secara tepat dan dipantau menerusi data masa nyata.

Beliau turut mencadangkan pendekatan pengurusan aset secara kluster selain meningkatkan kompetensi pegawai dalam usaha mengoptimumkan tenaga kerja sedia ada di institusi pendidikan tinggi.

Pelaksanaan pelan strategik tersebut dijangka mampu meningkatkan kecekapan pengurusan aset, mengurangkan pembaziran kos penyelenggaraan serta memperkukuh integriti tadbir urus aset pendidikan tinggi negara. – The Capital Post