PM Terima Kunjungan Perpisahan Duta Türkiye

Estimate Reading Time: < 1 minute

PUTRAJAYA 19 Mei 2026 (The Capital Post) – YAB Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim semalam menerima kunjungan hormat perpisahan Duta Besar Türkiye ke Malaysia, Emir Salim Yüksel dalam satu pertemuan yang turut menyentuh pelbagai isu semasa di peringkat serantau dan global.

Dalam pertemuan tersebut, kedua-dua pihak bertukar pandangan mengenai usaha memperkukuh hubungan bilateral yang sekian lama terjalin erat antara Malaysia dan Türkiye berasaskan prinsip saling menghormati serta manfaat bersama.

Perdana Menteri turut merakamkan penghargaan atas sumbangan dan peranan Emir Salim Yüksel sepanjang tempoh perkhidmatannya dalam mempererat hubungan persahabatan serta kerjasama strategik antara kedua-dua negara.

-Advertisement-

Hubungan Malaysia dan Türkiye yang kini berada pada tahap Kerjasama Strategik Komprehensif terus menjadi pemangkin kepada peluasan kerjasama dalam pelbagai sektor penting termasuk perdagangan, pelaburan, industri pertahanan, teknologi, pendidikan dan hubungan rakyat dengan rakyat.

Kerajaan Malaysia turut menyatakan harapan agar hubungan erat antara kedua-dua negara akan terus diperkukuh demi memastikan keamanan, kestabilan serantau serta kemakmuran bersama yang memberi manfaat kepada rakyat Malaysia dan Türkiye. – The Capital Post