KPT Teliti Tindakan Undang-Undang Atas Tuduhan Tidak Berasas

Estimate Reading Time: < 1 minute

PUTRAJAYA 16 Jun 2026 (The Capital Post) – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sedang meneliti kemungkinan mengambil tindakan perundangan terhadap pihak yang mengeluarkan dakwaan tidak berasas berkaitan sistem kemasukan ke Universiti Awam dan Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA).

 

Dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan semalam, KPT memandang serius tuduhan yang didakwa dibuat oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jitra, YB Dr. Haim Hilman Abdullah, berhubung dakwaan kononnya wujud amalan menjual tempat kemasukan ke universiti kepada individu tertentu melalui saluran tidak rasmi.

Menurut kementerian itu, tuduhan sedemikian bukan sahaja bersifat serius, malah berpotensi menjejaskan reputasi dan kredibiliti sistem pendidikan tinggi negara, termasuk institusi pengajian awam, pengurusan universiti, penjawat awam serta pelajar yang melalui proses kemasukan mengikut saluran yang sah.

-Advertisement-

KPT menegaskan bahawa pihaknya sentiasa terbuka menerima kritikan yang membina dan berasaskan fakta. Namun, sebarang dakwaan yang boleh menghakis keyakinan masyarakat terhadap institusi pendidikan tinggi negara perlu disokong dengan bukti yang kukuh.

Sehubungan itu, kementerian sedang meneliti serta mempertimbangkan tindakan dan prosedur perundangan yang bersesuaian bagi mempertahankan integriti kementerian, universiti awam serta sistem pendidikan tinggi negara daripada sebarang fitnah atau tuduhan yang tidak berasas.

KPT turut menegaskan bahawa pihaknya tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang mengeluarkan kenyataan yang boleh mencemarkan nama baik institusi pendidikan negara tanpa asas dan tanggungjawab yang jelas. – The Capital Post