KPWKM Perjelas RUU Profesion Kerja Sosial

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR 8 Julai 2026, (The Capital Post) – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) telah mengadakan sesi taklimat berkaitan Rang Undang-Undang Profesion Kerja Sosial (RUU PKS) kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Wanita, Kanak-Kanak dan Pembangunan Masyarakat serta Ahli-Ahli Dewan Rakyat di Parlimen.

Sesi tersebut bertujuan memberikan penerangan menyeluruh mengenai cadangan penggubalan RUU PKS yang bakal menyediakan satu kerangka perundangan serta sistem tadbir urus yang lebih tersusun bagi mengawal selia profesion kerja sosial di Malaysia.

Penggubalan undang-undang berkenaan dilihat sebagai langkah penting dalam memperkukuh standard profesionalisme pekerja sosial, meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan sosial serta memastikan aspek perlindungan dan kesejahteraan masyarakat terus diberi perhatian.

Taklimat itu turut menjadi sebahagian daripada persediaan menjelang pembentangan RUU PKS di Dewan Rakyat yang dijadualkan berlangsung pada 13 hingga 16 Julai 2026.

-Advertisement-

Sesi penerangan berkenaan disampaikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPWKM, YBrs. Encik Mohd Daud bin Mohd Arif, dengan turut dihadiri Setiausaha Bahagian Dasar dan Perancangan Strategik KPWKM, YBrs. Encik Asmar Asmadi bin Abdullah Sani, wakil Penasihat Undang-Undang KPWKM, wakil Jabatan Kebajikan Masyarakat, pegawai kementerian serta wakil Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara.

Melalui sesi tersebut, KPWKM berharap Ahli-Ahli Dewan Rakyat memperoleh pemahaman yang lebih jelas mengenai kepentingan RUU PKS sebagai asas kepada pembangunan profesion kerja sosial yang lebih sistematik, berintegriti dan memenuhi keperluan masyarakat masa kini. – The Capital Post