Kem Sultan Nazrin Shah Perkukuh 69 Komando

Estimate Reading Time: 2 minutes

IPOH 8 Julai 2026, (The Capital Post) – Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah berkenan menyempurnakan Majlis Perasmian Kem Sultan Nazrin Shah, 69 Komando di Ipoh, Perak sebagai simbolik pengukuhan keupayaan pasukan keselamatan negara.

Turut berangkat ke majlis tersebut ialah DYMM Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan, Tuanku Zara Salim, Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Perak Darul Ridzuan, Raja Jaafar Ibni Almarhum Raja Muda Musa serta barisan kerabat diraja Perak.

Majlis berkenaan turut dihadiri Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Ketua Polis Negara, IG Tan Sri Dato’ Seri Hj. Mohd Khalid Hj. Ismail bersama isteri yang juga Pengerusi Persatuan Keluarga Polis Malaysia, Puan Sri Datuk (Dr.) Hjh. Munirah Che Rose serta Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, CP Dato’ Sri Mohd Yusri Hj. Hassan Basri.

Acara dimulakan dengan pemeriksaan kawalan kehormatan melibatkan tiga pegawai dan 102 anggota daripada 69 Komando, Pasukan Gerakan Khas, Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang diketuai DSP Muhammad Ridhuan Basri selaku Pegawai Baris.

Dalam sembah ucapannya, Datuk Seri Saifuddin berkata, pembukaan Kem Sultan Nazrin Shah bukan sekadar penambahan kemudahan baharu, malah mencerminkan komitmen kerajaan dalam memperkukuh kapasiti pasukan keselamatan bagi menghadapi cabaran keselamatan yang semakin mencabar.

Beliau berkata, pembangunan kem tersebut menunjukkan usaha berterusan kerajaan menyediakan infrastruktur, kemudahan serta persekitaran latihan berstandard tinggi bagi memastikan tahap kesiapsiagaan pasukan keselamatan sentiasa berada pada tahap terbaik dalam mempertahankan keamanan, ketenteraman awam dan kedaulatan negara.

-Advertisement-

Kem Sultan Nazrin Shah dilengkapi 53 fasiliti utama merangkumi aspek operasi, latihan, logistik, pentadbiran serta kebajikan warga pasukan. Antara kemudahan utama termasuk Kompleks Tempur Jarak Dekat, Lapang Sasar Tertutup, Kompleks Latihan Akuatik, Menara Tempur serta lapang sasar sepanjang 1.2 kilometer yang menjadi antara fasiliti latihan terbaik dan terpanjang di Malaysia.

Kemudahan tersebut membolehkan latihan pasukan 69 Komando dilaksanakan secara lebih tersusun, realistik dan berkesan, sekali gus meningkatkan profesionalisme, kompetensi serta keupayaan anggota dalam menjalankan operasi berisiko tinggi demi keselamatan negara.

Majlis turut diserikan dengan demonstrasi kemahiran menembak oleh anggota 69 Komando serta persembahan payung terjun melibatkan enam penerjun daripada unit elit berkenaan yang mempamerkan kecekapan dan ketangkasan pasukan.

Majlis diakhiri dengan Sultan Nazrin berkenan menandatangani plak Kem Sultan Nazrin Shah sebagai tanda rasmi perasmian kem tersebut. Turut hadir ialah Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani Mohamad serta barisan kepimpinan Kementerian Dalam Negeri dan PDRM. – The Capital Post