PUTRAJAYA 14 Mei 2026 (The Capital Post) – Kerajaan terus memperkukuh agenda keterjaminan makanan negara menerusi kerjasama strategik bersama Vietnam selepas kedua-dua negara memeterai memorandum persefahaman (MoU) dalam bidang pertanian dan agromakanan.
Perkara tersebut dikongsikan Menteri Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu kepada Jemaah Menteri susulan lawatan kerja rasmi beliau ke Hanoi, Vietnam baru-baru ini.
Menurut beliau, kerjasama itu melibatkan perkongsian teknologi, pemindahan kepakaran serta usaha memperkukuh jaminan bekalan makanan antara kedua-dua negara.
Malaysia turut menyuarakan hasrat untuk memperluaskan akses pasaran produk tempatan ke Vietnam termasuk produk berasaskan ayam, telur cecair dipasteur, produk itik, sarang burung walit dan makanan haiwan peliharaan.
Selain sektor pertanian, kerjasama dalam bidang akuakultur dan perikanan mampan turut diberi perhatian sebagai langkah memperkukuh kedudukan Malaysia dan Vietnam sebagai antara peneraju industri perikanan lestari di rantau ASEAN.
-Advertisement-
Mohamad Sabu berkata cabaran global melibatkan perubahan iklim, ketidaktentuan ekonomi serta gangguan rantaian bekalan makanan memerlukan kerjasama strategik antara negara bagi memastikan kestabilan bekalan makanan dapat dikekalkan.
Dalam masa sama, beliau turut mengundang delegasi Vietnam untuk menyertai Malaysia Agriculture, Horticulture and Agrotourism Show (MAHA) 2026 yang dijadual berlangsung dari 28 Ogos hingga 6 September 2026 dengan tema “Penciptaan Nilai Demi Keterjaminan Makanan”.
Kerjasama dua hala itu dijangka membuka lebih banyak peluang perdagangan dan pelaburan dalam sektor agromakanan, sekali gus memperkukuh hubungan ekonomi antara Malaysia dan Vietnam. – The Capital Post