KSU MOTAC Hadir Sambutan Ma’al Hijrah

Estimate Reading Time: < 1 minute

PUTRAJAYA 18 Jun 2026 (The Capital Post) – Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Dato’ Shaharuddin Abu Sohot bersama kontinjen kementerian menyertai Sambutan Ma’al Hijrah 1448 Hijrah/2026 Masihi yang berlangsung di Masjid Putra, Putrajaya.

Sambutan berkenaan diserikan dengan keberangkatan DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, yang turut berkenan merasmikan majlis tersebut. Acara tahunan itu menjadi platform penting dalam memperingati peristiwa hijrah serta menghayati nilai-nilai murni yang menjadi asas kepada pembangunan masyarakat dan negara.

Pada majlis berkenaan, baginda turut berkenan menyampaikan Anugerah Tokoh Ma’al Hijrah 1448H/2026M kepada dua penerima yang telah memberikan sumbangan besar dalam bidang keilmuan dan pembangunan ummah. Anugerah Tokoh Kebangsaan disampaikan kepada Prof. Emeritus Datuk Dr. Osman Bakar, manakala Anugerah Tokoh Antarabangsa diberikan kepada Prof. Sheikh Dr. Ahmad Al-Raysuni.

-Advertisement-

Seramai 50 anggota kontinjen MOTAC yang diketuai oleh Encik Faisal Mohamed turut mengambil bahagian dalam sambutan tersebut sebagai simbol komitmen kementerian dalam menghayati tema sambutan tahun ini, “MADANI Dihayati, Ummah Diberkati”.

Sambutan Ma’al Hijrah 1448H diharap dapat terus menjadi pemangkin kepada usaha memperkukuh perpaduan, integriti dan kesejahteraan masyarakat, selaras dengan aspirasi membina negara yang lebih maju dan harmoni. Turut hadir pada majlis tersebut ialah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Haji Fadillah Yusof serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr. Zulkifli Hasan. – The Capital Post