KSU Perbendaharaan Tekankan Amanah Urus Wang Rakyat

Estimate Reading Time: < 1 minute

PUTRAJAYA 20 Oktober 2026 (The Capital Post) – Kejayaan penyediaan dan pembentangan Belanjawan 2027 mencerminkan komitmen serta kerjasama seluruh warga Kementerian Kewangan (MoF) dalam memastikan perancangan kewangan negara dapat dilaksanakan dengan teratur dan berkesan.

Pada Perhimpunan Bulanan MoF pagi tadi, Ketua Setiausaha Perbendaharaan, YBhg. Tan Sri Johan Mahmood Merican, merakamkan penghargaan kepada seluruh warga kementerian dan semua pihak yang telah menyumbang tenaga serta usaha dalam menjayakan penyediaan belanjawan negara.

Beliau turut mengingatkan bahawa tanggungjawab penjawat awam melangkaui pelaksanaan tugas harian kerana mereka diamanahkan untuk mengurus wang rakyat secara bertanggungjawab, berbeza dengan sektor korporat yang memberi tumpuan kepada keuntungan dan pembangunan syarikat.

-Advertisement-

Sehubungan itu, pengurusan kewangan awam perlu berteraskan tatakelola yang baik, integriti dan komitmen tinggi bagi memastikan setiap dasar serta peruntukan dirancang secara teliti dan mampu memberikan manfaat kepada rakyat.

Penekanan terhadap amanah dan akauntabiliti ini penting bagi memastikan hasil perancangan belanjawan bukan sahaja memenuhi keperluan pembangunan negara, malah dapat dirasai oleh masyarakat secara menyeluruh – The Capital Post