SERDANG 20 Oktober 2026 (The Capital Post) – Universiti Putra Malaysia (UPM) menerusi Institut Penyelidikan Penuaan Malaysia (MyAgeing®) menganjurkan Persidangan Penuaan Kebangsaan 2026 (NCA2026) bagi membincangkan isu ketidaksamarataan dan interseksionaliti yang mempengaruhi kesejahteraan warga emas.
Persidangan bertemakan “Interseksionaliti dan Ketidaksamarataan dalam Usia Tua: Memperkasa Penyelesaian Kesihatan, Sosial dan Teknologi bagi Penuaan” itu dirasmikan oleh Timbalan Menteri Kesihatan, YB Dato’ Hajjah Hanifah Hajar Taib, dengan penyertaan lebih 200 peserta tempatan dan antarabangsa.
Penganjuran ini turut melibatkan kerjasama Kendana Malaysia, Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) dan United Nations Population Fund (UNFPA) Malaysia, dengan tumpuan terhadap pelbagai cabaran yang dihadapi warga emas, termasuk aspek sosial, ekonomi, kesihatan dan akses kepada teknologi.
Antara agenda utama persidangan ialah memperkukuh kerjasama antara penyelidik dengan pengamal profesional, membangunkan jaringan penyelidikan penuaan serantau melalui Asian Regional Network on Ageing (ARNA), serta mengadakan dialog mengenai pembiayaan penjagaan jangka panjang di Malaysia.
-Advertisement-
Sebagai persidangan yang dianjurkan setiap dua tahun, NCA berperanan sebagai platform kebangsaan dan serantau untuk memperluas perbincangan mengenai penuaan penduduk. Penganjuran edisi 2026 turut menyokong usaha membentuk dasar berasaskan bukti, menggalakkan kerjasama merentas sektor dan membangunkan penyelesaian yang sesuai dengan perubahan demografi negara.
Persidangan tersebut turut mendapat sokongan Persatuan Gerontologi Malaysia (GeM), Malaysian Society of Geriatric Medicine (MSGM), Malaysian Healthy Ageing Society (MHAS), Malaysian Ageing Research Network (MARN), ASEAN Centre for Active Ageing and Innovation (ACAI) serta Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN).
Turut hadir ialah wakil UNFPA di Malaysia, YABhg. Dr. Julitta Onabanjo; Pengarah MyAgeing UPM, YBrs. Profesor Madya Dr. Rahimah Ibrahim; Ketua Pegawai Eksekutif KWAP, YBhg. Dato’ Jay Khairil; dan Pengerusi Kendana Malaysia, YBrs. Encik Rashidi Yahaya – The Capital Post